Tajuk Utama

    Pemilik sewakan tanah kepada warga asing bakal dikenakan tindakan tegas

    KUANTAN – Perbuatan individu tertentu yang menyewakan tanah mereka kepada warga asing faktor utama bertambahnya aktiviti pertanian dijalankan golongan terbabit.

    Bukan itu saja, ada individu tempatan menyewa gerai dari pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum menyewakannya semula kepada warga asing.

    Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya memandang serius apa yang berlaku dan usaha membanteras kegiatan terbabit akan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa lain.

    Menurutnya, kes terbabit sudah disiasat oleh polis dan laporan berkaitannya diterima pada 10 Mei lalu, bermula daripada aduan beberapa pengusaha tempatan.

    “Perkara ini sudah kita bincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Cameron Highlands pada 15 Mei, beberapa perkara sudah diputuskan, terutama membabitkan tindakan yang perlu diambil.

    “Kita sudah memutuskan untuk melakukan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu membabitkan sekurang-kurangnya 10 jabatan, selain penguatkuasaan berkala oleh pihak berkuasa,” katanya dihubungi Harian Metro, di sini.

    Beliau berkata, perkara itu akan akan disusuli dengan laporan dan penyelesaian efektif yang akan diputuskan pada mesyuarat hari ini.

    “Perbincangan yang menjurus kepada tindakan tegas akan diputuskan bagi memastikan perbuatan menyewakan tanah kepada warga asing untuk aktiviti pertanian tidak berlarutan,” katanya.

    Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, tindakan individu yang menyewakan gerai jualan kepada warga asing turut akan diputuskan hari ini.

    “Sudah tiba masanya tindakan tegas dibuat dalam usaha menyekat aktiviti melanggar syarat lesen itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian mengulas luahan kebimbangan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melihat banyak tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing. – ND

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *