Tiga penjenayah diberkas selepas dikejar polis lebih 30 kilometer di Perak

Tiga penjenayah diberkas selepas dikejar polis lebih 30 kilometer di Perak

IPOH – Polis berjaya memberkas tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan selepas mengejar mereka lebih 30 kilometer dan melepaskan tiga das tembakan, dalam kejadian awal pagi Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi, tiga anggota keluar melakukan tugas Op Lejang Khas dan ternampak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dalam keadaan mencurigakan di Jalan Medan Soon Choon 1 yang dinaiki tiga lelaki terbabit.

Menurutnya, ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan, mereka melarikan diri dan enggan berhenti walaupun diberi amaran.

“Selepas melalui Plaza Tol Simpang Pulai dan keluar di Tol Gopeng, suspek terus merempuh palang Plaza Tol Gopeng dan berhenti secara mengejut, mengundur dengan laju, lalu melanggar kereta peronda.

“Anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan dan mengenai kereta suspek.

“Tembakan itu adalah untuk melindungi diri kerana merasa terancam,” katanya dipetik Astro Awani selepas majlis makan malam bersama media, di sini, malam tadi.

Menurutnya, kenderaan suspek terus memecut laju menghala ke arah Gopeng dan Batu Gajah.

Kata beliau, ketika insiden itu, suspek memandu melawan arus lalu lintas antara simpang lampu isyarat Kampung Pisang, Batu Gajah ke simpang lampu isyarat Jalan Bemban, Batu Gajah.

“Setelah melepasi lampu isyarat Jalan Bemban, suspek sekali lagi bertindak agresif menghimpit kereta polis dan anggota melepaskan dua das tembakan.

“Satu tembakan ke arah tayar hadapan kanan kereta suspek dan satu lagi mengenai bahagian badan kenderaan itu, di bahagian fender belah kanan.

“Sampai di persimpangan jejambat Jalan Siputeh Batu Gajah, motokar yang dinaiki suspek telah terbabas kerana tayarnya yang pecah ditembak polis,” ujarnya.

Menurut Azizi, ketiga-ketiga suspek berjaya diberkas selepas berlaku bergelutan apabila mereka cuba melarikan diri.

Polis turut menjumpai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan, termasuk peralatan elektronik dalam kenderaan tersebut, yang juga disyaki dicuri.

Ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Polis, kata Azizi, yakin tangkapan itu dapat menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan, khususnya kenderaan pacuan empat roda. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *