KUALA LUMPUR – “Ini negara ada peraturan yang perlu dipatuh, bukan negara yang mengikut aturan kamu, Anthony Loke Siew Fook”.
Demikian bidasan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh terhadap Anthony yang juga Ketua Setiausaha Agung DAP berhubung isu sumbangan syarikat minuman keras kepada pihak sekolah.
Dr. Akmal menegaskan, Pemuda UMNO menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mempertahankan polisi tidak membenarkan sumbangan dari syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada sekolah.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, sumbangan sedemikian juga tidak dibenarkan dalam liga bola sepak negara.
“Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang, apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini
“Dan saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya.
“Pemuda UMNO menyokong penuh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai isu ini. Bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anthony dilaporkan berkata akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berhubung sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah Cina dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Menteri pengangkutan itu berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana syarikat minuman keras membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak puluhan tahun lalu.
“Syarikat minuman keras menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina berlaku sejak 30 tahun lalu dan saya juga pernah menghadiri majlis itu.
“Selama ini tidak timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu, katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institut pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.
Menurutnya, semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252