KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempersoalkan apa motif syarikat arak memberi sumbangan kepada sekolah?
Pengerusi Biro Pendidikan parti itu, Nasir Othman berkata, membiayai pendidikan dengan sumber yang dilarang seolah usaha untuk menormalisasikannya menerusi perkara bertentangan dengan agama dan moral.
Katanya, sudah pasti akan ada sudut untuk pengiklanan mengenai syarikat tersebut dalam kawasan sekolah nanti, yang memudahkan lagi pendedahan awal minuman keras kepada murid dan lebih ramai terlibat mengambil arak di awal usia.
“Pihak pengurusan syarikat arak, pengurusan sekolah dan juga pemimpin sebuah parti cauvinis dalam kerajaan Madani hanya memikirkan kepentingan masing-masing walaupun mengetahui ianya bertentangan dengan peraturan Kementerian Pendidikan.
“Apakah selaras dengan maksud Madani untuk menjadikan syarikat arak dihalalkan di sekolah Cina?
“Naratif polemik ini mungkin akan dikitar bahawa Islamophobia yang dikaitkan dengan gelombang hijau menghalang ideologi liberal dan dikaitkan pula dengan isu perkauman,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Nasir yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra menyatakan, setiap halangan dan pertentangan terhadap kepentingan membabitkan kaum pasti dituduh rasis dan pelampau agama.
Mungkin ini, katanya, merupakan satu provokasi halus untuk meninjau reaksi rakyat sejauh mana mereka menolak normalisasi liberal dalam sistem pendidikan.
“Jika ramai yang menerima dan hanya sedikit menentang, itu satu kejayaan. Sekiranya berlaku sebaliknya, maka fenomena minta maaf atau terlepas pandang adalah alasan licik untuk menyelamatkan keadaan seolah mereka di pihak yang benar.
“Namun, apakah mampu Kementerian Pendidikan bertegas dengan peraturan ditetapkan atau sebaliknya ‘terpaksa’ atas tekanan rakan mesra gabungan kerajaan Madani yang berdiri sebagai king maker? Tunggu dan lihat reaksinya nanti.
“Sejak kerajaan Madani ambil alih, Kementerian Pendidikan tidak pernah sunyi dilanda isu dan kontraversi. Belum reda isu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina menolak Bahasa Melayu dalam Program Dual Language Programme (DLP), kini timbul pula isu syarikat arak turut terlibat memberi sumbangan kepada sekolah,” katanya.
Sedangkan, Kata Nasir, jelas dalam Surat Pekeliling Ikthisas, SPI, 3 2018 mengenai Garis Panduan KPM, Tatacara Penerimaan Sumbangan; 7.3 tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Ujar beliau, peraturan KPM tidak menghalang untuk kutipan derma, sumbangan pendanaan, kepakaran dan sebagainya asalkan mengikut lunas dan peraturan yang ditetapkan.
“Dalam isu ini nampak jelas pemimpin parti cauvinis yang berada dalam kerajaan Madani tidak sensitif walaupun peraturan KPM jelas mengenai isu itu.
“Seolah mereka, walaupun dalam kerajaan, tetapi anti-establishment dan terlihat bahawa mentaliti sebagai pembangkang.
“Tiada agama dalam dunia ini menghalalkan arak sebagai minuman. Arak boleh dianggap sebagai minuman ibu segala kejahatan. Ketagihan melampau boleh mewujudkan pelbagai penyakit sosial, maksiat, perpecahan institusi kekeluargaan, pembunuhan, jenayah, kemalangan jalan raya dan sebagainya,” kata beliau. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252