Pas tak letak calon di PRK DUN Nenggiri – Mohd Amar

Pas tak letak calon di PRK DUN Nenggiri – Mohd Amar

KOTA BHARU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak berhasrat untuk meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaska, partinya tidak mengemukakan calon untuk PRK yang dijadualkan pada 17 Ogos itu kerana mematuhi perjanjian dengan Bersatu.

“Jadi, isu calon untuk PRK Nenggiri tidak timbul. Dakwaan bahawa Pas menuntut kerusi itu daripada Bersatu juga tidak benar kerana kedua-dua pihak bersetuju Bersatu mengemukakan calonnya di sana.

“Malahan, Timbalan Presiden Pas baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa calon Bersatu yang akan bertanding PRK terbabit,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata, adalah perkara biasa bagi akar umbi parti mempunyai pendapat berbeza mengenai PRK berkenaan.

Ditanya bila Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon dan jangkaan gabungan itu pada PRK nanti, beliau memaklumkan, ia dijangka pada 1 Ogos ini di Renok, Gua Musang dan soal menang atau kalah bergantung pada calon.

“Biasanya dalam PRK, akan bergantung sepenuhnya kepada calon. Jika dapat menarik pengundi, maka kita akan menang,” katanya.

PRK Nenggiri diadakan selepas penyandang kerusi, Mohd Azizi Abu Naimi yang menang di bawah tiket Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, digugurkan keahlian Bersatu kerana menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *