BERITA UTAMA
29 maut serangan terkini Zionis ke atas sekolah di Gaza

29 maut serangan terkini Zionis ke atas sekolah di Gaza

SEMENANJUNG GAZA – Sekurang-kurangnya 29 terbunuh dalam serangan berskala besar terkini rejim Zionis yang menyasarkan sebuah sekolah, di sini, semalam.

Sumber hospital di Khan Yunis berkata, serangan berhampiran Abasan di selatan Gaza itu juga mengakibatkan ramai warga Palestin hilang tempat perlindungan.

Tentera Israel pula berkata, angkatan udara mereka melancarkan serangan di kawasan itu dengan menyasarkan seorang ‘pengganas’, selain akan menilai semula kejadian terbabit.

Sementara itu, pegawai dan penyelamat berkata, sekurang-kurangnya 20 lagi terbunuh dalam tiga serangan berasingan dilancarkan rejim Zionis ke atas sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan warga Palestin sejak Sabtu lalu.

Di utara Semenanjung Gaza, tentera Israel, kereta kebal serta pesawat pejuang menyerang Bandar Gaza menjelang perbincangan baharu pertukaran tebusan dan gencatan senjata bagi peperangan yang berlarutan hingga 10 bulan di Qatar.

Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns, dan Ketua Mossad Israel, David Barnea, dijadualkan ke Qatar hari ini, selepas Burns mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, di Kaherah.

Ketika Hamas sudah meringankan tuntutan utama, kumpulan pejuang itu mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sengaja meningkatkan serangan, bertujuan menggagalkan perjanjian.

Ketua politik kumpulan Islamis berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, berkata beliau sudah memberi amaran kepada perantara mengenai ‘akibat bencana’ daripada pertempuran terbaru boleh ‘mengganggu proses rundingan’.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, pula menggambarkan pertempuran terbaru di Bandar Gaza sebagai ‘paling sengit sejak beberapa bulan lalu’.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, puluhan ribu orang awam terjejas akibat lonjakan pertempuran sejak perintah pemindahan pertama dari tiga perintah untuk Bandar Gaza diumumkan pada 27 Jun lalu.

Ketua Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata ‘kira-kira 350,000 orang ramai terpaksa berpindah lagi, tetapi pada dasarnya, tiada ruang selamat di Gaza’. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *