LONDON – Manchester United menanggung kos sebanyak £16.7 juta (RM88.84 juta) untuk memecat bekas pengurus, Ruben Amorim bersama barisan kejurulatihannya.
Laporan kewangan suku ketiga kelab itu turut mengesahkan kerugian £5.2 juta (RM27.66 juta) daripada pelupusan aset tidak ketara berkaitan pemecatan itu.
Bayaran besar itu yang disenaraikan sebagai “perkara luar biasa” dibuat walaupun United menaikkan unjuran hasil tahunan kepada lebih £655 juta (RM3.48 bilion).
Amorim dipecat pada Januari lalu, namun penggantinya Michael Carrick membawa perubahan prestasi yang menyaksikan United menamatkan musim di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Akaun terbaharu United menunjukkan keuntungan operasi £37.7 juta (RM200.46 juta) bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, berbanding kerugian £3.2 juta (RM17.02 juta) dalam tempoh sama tahun lalu.
Kelab itu percaya langkah pengurangan kos operasi sejak Jim Ratcliffe menjadi pemilik bersama sudah memberi kesan positif terhadap kewangan mereka.
Laporan itu menyatakan: “Kami terus melihat manfaat daripada program pengurangan kos operasi dan tenaga kerja yang dilaksanakan tahun lalu, bersama peningkatan prestasi di tengah padang.”
United turut mengesahkan kerja perancangan terus berjalan di belakang tabir bagi merealisasikan “hasrat membina stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk”.
Ketua eksekutif United, Omar Berrada berkata: “Kami berasa sangat positif dengan kemajuan kelab musim ini serta impak berterusan transformasi perniagaan kami.
“Menamatkan musim di tangga ketiga EPL dan layak ke Liga Juara-Juara membuktikan peningkatan prestasi pasukan lelaki kami di tengah padang.
“Michael Carrick sudah melakukan tugas cemerlang dalam 17 perlawanan yang dikendalikannya dan kami gembira beliau akan terus kekal sebagai ketua jurulatih.” – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L