KUALA LUMPUR – Suasana cemas melanda pengguna pengangkutan awam di ibu negara pagi tadi apabila sebuah tren Rapid KL Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin, sekali gus menyebabkan gangguan besar terhadap operasi perkhidmatan tren di laluan terbabit.
Dalam kejadian yang berlaku pada waktu puncak itu, seramai 25 penumpang yang berada di dalam tren terbabit berjaya dipindahkan dengan selamat oleh petugas selepas tren mengalami kerosakan dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
Rapid Rail dalam satu kenyataan mengesahkan insiden tersebut berpunca daripada kerosakan pada sistem suis landasan yang menyebabkan tren tergelincir ketika melalui kawasan berkenaan.
Menurut syarikat pengendali pengangkutan awam itu, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut dan semua penumpang dipindahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.
“Keselamatan penumpang dan petugas sentiasa menjadi keutamaan kami. Pasukan teknikal kini sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi kejadian bagi memastikan operasi dapat dipulihkan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu hari ini.
Insiden tersebut turut menyebabkan gangguan ketara kepada jadual perjalanan tren di Laluan Ampang/Sri Petaling apabila beberapa perkhidmatan terpaksa diubah serta dihentikan sementara.
Rapid KL memaklumkan bahawa pelan perkhidmatan alternatif segera diaktifkan bagi mengurangkan kesesakan dan membantu penumpang meneruskan perjalanan masing-masing.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk tren dari Stesen Sentul Timur berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan setiap empat minit, manakala tren dari arah Putra Heights pula hanya beroperasi sehingga Stesen Bandar Tasik Selatan sebelum berpatah balik.
Selain itu, perkhidmatan tren perantara turut disediakan antara Stesen Cheras dan Bandar Tasik Selatan serta antara Stesen Ampang dan Pandan Jaya bagi membantu menampung jumlah penumpang yang terjejas.
Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bas perantara ulang-alik percuma turut digerakkan melibatkan beberapa stesen utama termasuk Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Pandan Jaya dan Cheras.
Rapid KL memaklumkan bas-bas tersebut bergerak dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa di sekitar ibu negara.
Terdahulu, beberapa gambar dan video insiden tren tergelincir itu mula tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.
Rapid KL kemudian mengesahkan imej yang tersebar tersebut adalah sah dan berkaitan dengan kejadian sebenar yang berlaku pagi tadi.
Dalam masa sama, penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar turut disarankan menggunakan Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi sebagai laluan alternatif sementara kerja pemulihan dijalankan.
Tinjauan di beberapa stesen mendapati ramai penumpang mengalami kelewatan perjalanan dan kesesakan luar biasa susulan gangguan tersebut, terutama pada waktu orang ramai menuju ke tempat kerja dan sekolah.
Bagaimanapun, rata-rata pengguna memuji tindakan pantas petugas Rapid KL yang membantu mengawal keadaan serta memindahkan penumpang dengan teratur tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Rapid KL turut menasihatkan semua penumpang agar sentiasa mematuhi arahan petugas stesen sepanjang tempoh gangguan dan mengikuti maklumat terkini menerusi media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.
Setakat ini, kerja-kerja pemulihan dan pemeriksaan teknikal masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan serta memastikan keselamatan operasi tren sebelum perkhidmatan kembali beroperasi sepenuhnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L