KUALA LUMPUR – Semangat luar biasa seorang usahawan wanita Malaysia menawan Kem Pangkalan Everest (Everest Base Camp, EBC) pada usia 47 tahun kini menjadi inspirasi kepada ramai rakyat negara ini, khususnya golongan wanita yang mahu membuktikan usia bukan penghalang untuk mengejar impian besar.
Ibu kepada seorang cahaya mata, Thamayanthi Thevy Thiagrajan, berjaya menamatkan ekspedisi mencabar ke EBC dalam tempoh sembilan hari, sekali gus melakar pencapaian membanggakan yang disifatkannya sebagai antara detik paling bermakna dalam hidupnya.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kekuatan fizikal dan mental, malah turut menyerlahkan kemampuan wanita Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan bergerak seiring dengan sesiapa sahaja dalam bidang yang penuh cabaran ekstrem.
Menurut Thamayanthi, beliau tidak pernah menyangka mampu menjejakkan kaki ke kawasan ikonik di kaki Gunung Everest itu, apatah lagi pada usia yang hampir mencecah lima dekad.
Katanya, minat terhadap kecergasan dan aktiviti lasak mula mendorong beliau untuk menyahut cabaran itu selepas menyertai sebuah kumpulan pendakian tahun lalu.
“Pada mulanya saya hanya mahu mencabar diri dan keluar daripada zon selesa. Tetapi lama-kelamaan saya mula yakin tiada apa yang mustahil jika kita benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Saya menjalani latihan intensif selama enam bulan termasuk ke gimnasium secara konsisten serta melakukan pendakian bersama rakan-rakan untuk meningkatkan stamina dan ketahanan diri,” katanya ketika berkongsi pengalaman sepanjang ekspedisi berkenaan.
Beliau berkata, cabaran sebenar bermula apabila keadaan cuaca di kawasan Himalaya berubah secara mendadak dan sukar dijangka.
Menurutnya, walaupun dimaklumkan cuaca ketika itu agak panas, beliau sebenarnya berdepan hujan lebat, suhu sejuk melampau dan salji yang turun secara tiba-tiba sepanjang perjalanan menuju EBC.
“Ada ketika perjalanan terganggu kerana saya terpaksa berhenti untuk menukar pakaian akibat hujan dan salji. Cuaca di kawasan pergunungan memang tidak menentu dan itu antara cabaran paling sukar.
“Daripada 10 peserta dalam kumpulan kami, dua orang tidak dapat meneruskan ekspedisi kerana faktor kesihatan dan ketahanan fizikal,” katanya.
Kem Pangkalan Everest yang terletak pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut merupakan lokasi persediaan utama bagi pendaki yang ingin menawan puncak Gunung Everest, gunung tertinggi dunia dengan ketinggian 8,848 meter.
Destinasi itu menjadi antara lokasi pendakian paling terkenal di dunia dan sering dikunjungi pendaki profesional serta pengembara dari pelbagai negara.
Mengimbau perjalanan penuh cabaran itu, Thamayanthi berkata, setiap hari mereka perlu memulakan pendakian seawal jam 7.30 pagi dan memastikan tiba di lokasi perhentian sebelum jam 5 petang kerana keadaan akan menjadi gelap serta berbahaya pada waktu malam.
“Kami biasanya mendaki sekurang-kurangnya tujuh jam sehari. Sepanjang perjalanan, kami melalui lereng gunung, jambatan gantung dan perkampungan kecil di Himalaya dalam keadaan cuaca yang berubah-ubah antara panas, hujan dan salji.
“Pernah juga saya mengalami kesukaran bernafas akibat kekurangan oksigen, namun sokongan daripada ahli kumpulan banyak membantu saya untuk terus kuat dan meneruskan perjalanan,” katanya.
Menurut beliau, segala kepayahan dan pengorbanan akhirnya terbalas apabila berjaya tiba di Kem Pangkalan Everest selepas sembilan hari ekspedisi yang amat mencabar.
Beliau menyifatkan pengalaman melihat panorama gunung bersalji di EBC sebagai sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Apabila sampai di sana, semua rasa penat seakan hilang. Pemandangan di EBC sangat menakjubkan dan pengalaman itu benar-benar memberi kepuasan yang luar biasa.
“Ekspedisi ini mengajar saya tentang disiplin, kesabaran, kekuatan mental dan keberanian untuk melangkaui batas kemampuan diri sendiri,” katanya.
Sebelum menawan EBC, Thamayanthi turut pernah berjaya mendaki Gunung Kinabalu tahun lalu dan kini bercadang untuk meneruskan cabaran lebih besar dengan menawan Gunung Kilimanjaro di Afrika, yang merupakan gunung tertinggi di benua tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru lebih ramai wanita Malaysia agar berani mengejar impian dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu walaupun berdepan pelbagai kekangan.
“Jangan sesekali biarkan usia, ketakutan atau pandangan orang lain menghalang kita daripada mencapai apa yang kita impikan.
“Wanita juga mampu melakukan perkara luar biasa jika mempunyai keyakinan, disiplin dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Kisah kejayaan Thamayanthi kini menjadi simbol ketabahan dan inspirasi kepada masyarakat, sekali gus membuktikan semangat juang rakyat Malaysia mampu membawa nama negara ke pentas dunia dalam apa jua bidang yang diceburi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L