LONDON – Masa depan Marcus Rashford kini berada dalam situasi tidak menentu selepas Barcelona bersetuju dengan perjanjian £70 juta (RM372.40 juta) bersama Newcastle United untuk mendapatkan Anthony Gordon.
Pemain sayap England itu sebelum ini turut menjadi sasaran Bayern Munich dan Arsenal pada musim panas ini, manakala Liverpool juga pernah menunjukkan minat terhadap bekas pemain Everton itu.
Namun, juara Sepanyol itu dilaporkan hampir menyelesaikan perpindahan Gordon yang dijangka menjalani pemeriksaan perubatan minggu ini.
Pemain berusia 25 tahun itu dijangka menandatangani kontrak lima tahun bersama Barcelona sebelum menyertai kem skuad England ke Amerika Syarikat bagi persiapan Piala Dunia.
Perpindahan Gordon ke Sepanyol berpotensi memberi kesan kepada rakan sepasukan England, Rashford.
Pemain pinjaman dari Manchester United itu menjaringkan 14 gol dan mencatat 14 bantuan gol dalam 49 penampilan bersama pasukan kendalian Hansi Flick musim ini.
Perjanjian pinjaman Rashford turut mempunyai klausa pembelian £26 juta (RM138 juta), namun Barcelona kini dikatakan cuba merundingkan harga lebih rendah.
Namun, sebarang perpindahan kekal kini dilihat sukar untuk direalisasikan.
Rashford tetap mahu kekal di Camp Nou, tetapi Barcelona hanya terbuka untuk membawanya kembali jika satu lagi perjanjian pinjaman dapat dipersetujui dengan Manchester United kendalian Michael Carrick.
Bekas pemain akademi United itu juga tidak berada dalam perancangan Carrick di Old Trafford musim depan.
Ejen Rashford sudah mengadakan pertemuan dengan pengarah sukan Barcelona, Deco bagi membincangkan masa depannya.
Selepas membantu Barcelona menjulang kejuaraan La Liga, Rashford sebelum ini menyatakan hasratnya untuk kekal di kelab itu.
“Saya bukannya seorang ahli sihir, tetapi jika saya boleh, saya mahu kekal. Kita lihat nanti,” katanya.
“Saya datang untuk menang. Saya mahu menang seberapa banyak yang boleh. Ini satu lagi trofi untuk saya.
“Ini pasukan yang hebat, mereka akan menang banyak lagi pada masa depan. Menjadi sebahagian daripadanya adalah sesuatu yang istimewa.
“Saya sentiasa mengagumi Barcelona, mereka seperti pasukan kedua saya. Ia satu impian untuk datang ke sini dan menang.” – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L