LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan beliau ‘sangat yakin’ pasukannya mampu menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama apabila menentang Paris Saint-Germain pada aksi final di Budapest, awal pagi Ahad ini.
Arsenal tiba ke pentas final dengan penuh keyakinan selepas menamatkan penantian 22 tahun untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali gus menyuntik motivasi tambahan menjelang pertembungan berprofil tinggi itu.
Namun, cabaran tidak mudah menanti The Gunners apabila mereka dijadual berdepan juara bertahan yang juga gergasi Eropah, Paris Saint-Germain, yang dianggap antara pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan.
PSG sebelum ini menewaskan Inter Milan 5-0 pada final musim lalu, sekali gus memperkukuhkan status mereka sebagai antara pasukan terkuat di benua Eropah.
Bagaimanapun, Arteta percaya keyakinan dan momentum yang dibawa selepas kejayaan di pentas domestik mampu menjadi pemisah dalam aksi final berkenaan.
“Kita dapat merasai tenaga, keyakinan dan positif dalam kalangan pemain serta seluruh kelab.
“Kami mempunyai peluang besar untuk mencipta sejarah baharu dan kami yakin mampu melakukannya.
“Kami akan berlepas ke Budapest pada Khamis dengan keyakinan penuh bahawa beberapa hari lagi kami boleh menjadi juara Eropah,” katanya. – AFP
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001