LOS ANGELES – United Airlines berkata, ia sedang menyiasat bagaimana roda pesawat Boeing 757-200 tercabut ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Los Angeles kelmarin, sebelum mendarat dengan selamat di Denver, lapor United Press International (UPI).
Penerbangan United 1001 yang membawa 174 penumpang dan tujuh anak kapal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver tanpa sebarang insiden selepas melakukan pendaratan kecemasan.
Kru kemudian berjaya menemukan roda yang tercabut dari bahagian belakang pesawat itu di sini.
Juruterbang lain menghubungi kawalan trafik udara untuk memaklumkan roda pesawat itu bergolek di landasan selepas pesawat United berlepas.
Ini adalah kali kedua dalam tahun ini penerbangan United Airlines berhadapan dengan masalah tayar tercabut.
Pada Mac, tayar pesawat Boeing 777 United tercabut ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
Walaupun pesawat itu mendarat dengan selamat di Los Angeles, tayar yang tercabut itu merosakkan banyak kenderaan di tempat letak kereta di San Francisco. – BERNAMA-UPI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252