BERITA UTAMA
Gabungan dua isu utama faktor PH gagal rampas Sungai Bakap

Gabungan dua isu utama faktor PH gagal rampas Sungai Bakap

GABUNGAN isu nasional dan tempatan yang tidak dapat ditepis oleh Kerajaan Perpaduan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menjadi faktor besar kegagalan calon Kerajaan Perpaduan merampas kerusi berkenaan.

Manipulasi PN secara maksimum isu seperti penyasaran subsidi diesel dan petrol, kemasukan bukan Bumiputera ke matrikulasi, kenaikan tarif air di Pulau Pinang dan isu bekalan air sejak beberapa tahun lalu memberi tekanan kepada kempen PH-BN.

Selain itu, isu besar nasional seperti pemilikan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructures Partnership (GIP) yang dikaitkan dengan BlackRock Inc turut mempengaruhi pola pengundian pada PRK itu, khususnya pengundi Melayu.

Penganalisis politik berpendapat isu semasa yang berlegar ketika ini dilihat banyak membantu memenangkan PN yang menyaksikan bukan saja meraih sokongan pengundi Melayu sebaliknya didakwa mencetus rasa kurang senang serta protes senyap dalam kalangan pengundi bukan Melayu dengan tidak keluar mengundi.

Wartawan Berita Harian Fahmy A Rosli melaporkan, mengikut data analisis awal PKR, anggaran pengundi Melayu yang keluar mengundi kelmarin mencecah sekitar 70 peratus, diikuti India (58 peratus) dan Cina (47 peratus).

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula merekodkan sebanyak 63.45 peratus daripada 39,279 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka kelmarin.

Bilangan mengundi merosot

Kemerosotan pengundi bukan Melayu yang keluar mengundi berbanding Melayu itu menyebabkan jumlah undi kepada calon PH, Dr Joohari Ariffin, berkurang dengan ketara sekali gus menyebabkan majoriti calon PN, Abidin Ismail, bertambah sehingga 4,267 berbanding 1,563 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

PRK itu menyaksikan PN menang di tujuh daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Tujuh PDM terbabit adalah Padang Lalang, Tasek Junjong, Sungai Duri, Sungai Bakap, Ladang Sempah, Sungai Kechil dan Kampung Besar.

Hanya PDM Puteri Gunong dimenangi PH.

Dengan penekanan PN terhadap isu yang melingkari kos sara hidup rakyat, parti itu berjaya mencipta naratif bahawa Kerajaan Perpaduan gagal menjaga kebajikan rakyat.

Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata penyokong PN sedia ada kekal memberi undi kepada PN, manakala penyokong teras PH dalam kalangan pengundi kaum Cina dan pengundi Melayu dalam kelas sosioekonomi menengah dan ke atas kurang selesa dengan prestasi kerajaan khususnya yang terkait dasar ekonomi semasa.

Dengan kombinasi dua elemen ini, katanya, menyebabkan PH kalah dengan majoriti lebih besar pada PRK ini.

“Dalam masa sama isu tempatan khususnya gangguan bekalan air dan tarif air juga ditimbulkan oleh pengundi sepanjang kempen ini, termasuk oleh pengundi teras PH. Mereka mengambil kesempatan PRK ini untuk memberi isyarat wake-up call signal kepada kerajaan supaya selesaikan isu penting ini secepat mungkin.

“Pengundi Melayu secara umumnya masih memberi sokongan kepada PN, pola hampir sama dengan PRN Ogos lalu. PH kalah dengan majoriti lebih besar kerana pengundi ‘deposit tetap’ mereka iaitu pengundi Cina majoritinya tidak keluar mengundi.

“Sepanjang kempen berlangsung, sebahagian besar pengundi Cina memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi. Pertama kerana PRK ini tidak mengubah apa-apa status quo kerajaan negeri. Kedua sebab mereka kurang selesa dengan dasar ekonomi semasa seperti cukai, penyasaran subsidi dan sebagainya yang terkesan secara langsung kepada mereka, ” katanya.

Kenaikan harga diesel

Bagi Felo Penyelidik Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM), Mujibu Abd Muis, banyak sebab mengapa PH tewas, namun faktor kenaikan harga diesel dan bimbang berlaku kenaikan harga RON95 membuat ada pengundi tidak mengundi PH.

Katanya DUN Sungai Bakap memperlihatkan trend pengundi Melayu yang masih bersama PN, manakala pengundi bukan Melayu tidak lagi ghairah untuk undi PH.

“Banyak faktor bagi orang Melayu undi PN di sana antaranya isu BlackRock, isu kemasukan matrikulasi, kenaikan tarif air pulau pinang dan terbesar dasar rasionalisasi subsidi diesel serta kebimbangan perkara sama berlaku pada RON95.

“Ini juga memberi kesan kepada pengundi bukan Melayu yang turut melihat dasar kerajaan tidak pro kepada mereka yang mengundi PH, termasuk kesannya kepada golongan M40 dan T20 yang sering sokong PH,” katanya.

Faktor penentu kepada kemenangan PN di kerusi Sungai Bakap juga turut disumbangkan oleh peratus keluar pengundi muda yang tinggi.

Seandainya ahli UMNO keluar mengundi calon PH, beliau berkata ia masih tidak cukup untuk menjamin kemenangan PH.

“Di lapangan, saya melihat sokongan orang Melayu kepada UMNO sebenarnya sudah lama sepi di negeri-negeri dikuasai PH termasuk Pulau Pinang, ada hayunan pengundi Melayu kepada PH datang daripada ahli UMNO, namun masih tak cukup beri kemenangan kepada PH.

“Faktor pertama disumbangkan peratusan 70 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi yang rata-ratanya datang daripada saluran muda dan belia yang disasarkan PN sebagai kritikal supaya jangan mengundi PH.

“Faktor kedua, peratusan pengundi kaum Cina dan India yang keluar mengundi rendah tidak dapat offset (mengimbangi) undi Melayu yang hilang kepada PH.

“Faktor ketiga, kedua-duanya semacam protes dengan tindakan dan dasar kerajaan dalam kes diesel, mengulangi apa yang berlaku ketika era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sewaktu menjadi Perdana Menteri yang mana ketika itu harga petrol naik 78 sen dan diesel RM1, menyebabkan berlaku tsunami politik,” katanya.

Penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata berdasarkan keputusan di lapan PDM, PH hanya menang satu iaitu Puteri Gunong.

Malah, katanya, PH juga tidak dapat menguasai PDM yang majoriti kaum Cina pada PRK kali ini, termasuk menarik sokongan padu pengundi Melayu.

Gelombang rakyat

Justeru, katanya, kegagalan PH merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap bukan berpunca gelombang hijau semata-mata pengundi Melayu, sebaliknya dicetuskan gelombang rakyat yang merentasi segenap kaum di kawasan itu.

“PH tewas di semua PDM kecuali Puteri Gunong, termasuk PDM majoriti Cina. Undi kali ini adalah gelombang rakyat tanpa mengira pengundi itu Melayu, Cina atau India.

“Walaupun peratusan yang keluar undi merosot (62.92 peratus ) seperti mana trend di PRK lain, jumlah undi PN naik ke 58.6 peratus, manakala undi PH jatuh ke 41.4 peratus, ” katanya.

Satu faktor lain, katanya ialah isu berkait pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin memberi kesan terhadap kepada pengundi UMNO di Sungai Bakap.

“Barangkali disebabkan ini adalah PRK, ada mesej ketidakselesaan cuba disampaikan bila mana reformasi kurang dapat dilihat dalam naratif Kerajaan Perpaduan.

“Masing-masing tahu keputusan PRK ini tidak membawa kepada perubahan tampuk kerajaan negeri dan Persekutuan tetapi mahu kerajaan bersikap prihatin ke atas beberapa perkara. Ia juga kerusi penyandang dan barangkali secara strategik mahukan suara pembangkang kekal di DUN.

“Saya lihat juga pada minggu terakhir kempen banyak tertumpu pada isu nasional termasuk isu perdebatan di Parlimen dan pengampunan Najib yang ditolak, barangkali ada kesan kepada pengundi UMNO, ” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *