BERITA UTAMA
Laporan Ketua Audit mungkin dibahas di Dewan Rakyat esok

Laporan Ketua Audit mungkin dibahas di Dewan Rakyat esok

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat esok.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul yang disiarkan di laman web Parlimen, usul bagi membahaskan LKAN 2/2024 akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 diputuskan.

AUM itu menyatakan, LKAN wajar dibahaskan secara terperinci di Dewan Rakyat supaya perhatian dan pengamatan yang mendalam oleh semua pihak dapat diberikan bagi mendukung hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik, selain penelitian hanya di peringkat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Ia sekali gus dapat memberikan isyarat jelas kepada keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan akan kesungguhan untuk memerangi kecurangan dan salah laku serta memartabatkan tatakelola yang unggul seperti yang disarankan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Usaha murni ini juga seiring dengan inisiatif mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan untuk ‘semak dan imbang’ kuasa eksekutif,” katanya dipetik Berita Harian.

LKAN 2/24 dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis lalu melaporkan sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Ia membabitkan pengauditan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan berkanun Persekutuan, dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor, seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahu pun prosedur kerja disebut dalam laporan berkenaan.

Selain itu, sebanyak sembilan RUU akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama esok, dengan lapan daripadanya oleh Menteri di JPM.

RUU berkenaan adalah RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, RUU Keterangan (Pindaan) 2024, RUU Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 dan RUU Angkatan Tentera (Pindaan) 2024.

Selain itu, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024, serta RUU Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 oleh Menteri Dalam Negeri.

Turut menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat esok adalah sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri yang akan dijawab oleh Anwar.

Soalan yang dikemukakan adalah mengenai dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS serta bagaimana penyertaan itu akan membantu perkembangan ekonomi negara, khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara BRICS oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How.

Selain itu, soalan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mengenai fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 serta pelaksanaan reformasi institusi supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berfungsi secara adil, telus dan bebas daripada campur tangan pihak eksekutif. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *