SHAH ALAM – Seramai 10 kru termasuk kapten Kapal MV KUM JIN berdepan detik cemas selepas kapal karam di kedudukan 2.1 batu nautika dari Tanjung Rhu, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 3.35 pagi itu, semua kru sedang berpindah ke bot keselamatan berikutan kebocoran yang tidak dapat diatasi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Selangor), Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, maklumat yang diterima mengatakan kapal itu bocor di bahagian hadapan sebelah kiri.
“Bot Perkasa 36 Maritim Malaysia ke lokasi dan mendapati kapal MV KUM JIN dalam keadaan tidak stabil. Semua kru dan kapten kapal sedang berpindah ke bot keselamatan.
“Anggota Maritim Malaysia membawa kru ke Jeti Pangkalan Polis Marin Pulau Indah,” katanya dipetik Berita Harian dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri, kapten kapal warga Indonesia berusia 53 tahun.
“Kru kapal warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah,” katanya.
Dalam kes berasingan, Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot yang membawa penumpang berlebihan pada jam 1 petang, semalam.
Abdul Muhaimin berkata, bot penumpang itu ditahan dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam berdekatan Tanjung Harapan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu membawa 45 orang penumpang, melebihi had dibenarkan serta tidak memakai jaket keselamatan.
“Bot penumpang itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru warga tempatan masing-masing berusia 19 dan 40 tahun.
“Semua penumpang dibawa ke Jeti Pulau Ketam,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, nakhoda, kru dan bot yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252