KOTA BHARU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim akan membantu berkempen untuk calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Katanya, sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh UMNO, beliau akan membantu sebaik mungkin bagi memastikan kerusi itu dimenangi oleh parti berkenaan.
“Memandangkan saya menyokong Kerajaan Perpaduan, sudah tentu saya akan menyokong calon daripada UMNO yang akan bertanding di DUN Nenggiri nanti.
“Saya akan menggunakan pengalaman yang ada bagi mendekati pengundi dalam usaha memenangkan kerusi terbabit.
“Walaupun saya tidak bertanding, namun saya akan berkempen untuk calon daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik Berita Harian.
Sebelum ini, Mohd Azizi dilaporkan mengumumkan tidak akan bertanding semula pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan tidak akan sesekali menjadi calon Bebas.
Tegasnya, beliau sedia memberi laluan kepada komponen parti lain untuk bertanding kerusi yang disandangnya itu.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
Pada PRN yang berlangsung pada Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila memperoleh 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252