BATU GAJAH – Suspek kes bunuh isteri di sebuah hotel di sini, baru-baru ini di hadapkan ke Mahkamah Majistret Natu Gajah atas pertuduhan membunuh.
Tertuduh, Hairil Anaas Abdullah, 37, seorang penganggur hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Hairil Anaas didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Nisya Syahkila Shaharun, 32, dalam sebuah bilik hotel di Batu Gajah, di sini, antara jam 7.30 pagi hingga 2 petang pada 20 Jun lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 9 Ogos ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat serta asid deoksiribonukleik (DNA).
Pada 20 Jun lalu, media melaporkan lelaki terbabit menyerah diri di balai polis jam 2 petang selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad dilaporkan berkata, suspek disyaki membunuh mangsa kerana tidak puas hati apabila wanita itu meneruskan tuntutan fasakh.
Jelas beliau, mayat mangsa ditemui di bilik hotel itu dengan kesan tikaman serta pisau.
Sementara itu, di luar mahkamah, ibu mangsa bunuh, Rozita Radzuan, 56, dilihat mengatakan sesuatu kepada suspek yang juga menantunya ketika dibawa keluar dari lokap Mahkamah Majistret Batu Gajah pagi ini.
Rozita yang berjalan longlai dipapah ahli keluarga kelihatan tidak dapat menahan sebak ketika meluahkan perasaan terhadap tertuduh.
Wanita yang mengenakan jubah berwarna gelap kemudiannya ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa meninggalkan kompleks mahkamah. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252