KLUANG – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) parah selepas lehernya dikelar dengan pisau lipat oleh seorang lelaki di bawah pengaruh dadah dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa berusia 32 tahun dilaporkan stabil, manakala suspek berusia 45 tahun ditahan berhampiran sebuah stesen minyak Taman Bersatu di sini pada jam 6.17 petang
“Mangsa dihantar ke zon merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan luka panjang di leher sebelah kiri dan bahagian hadapan kanan.
“Terdahulu, pada jam 1.50 tengah hari, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu di hadapan sebuah kedai runcit Taman Kluang Barat, Kluang
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah dan narkotik. Saringan kencing mendapati suspek positif dadah jenis morphine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya,” katanya
Dalam pada itu, seorang saksi kejadian dikenali sebagai Suhaida, mendakwa melihat suspek melarikan diri sejurus menyerang mangsa.
“Suspek ada bertekak dengan mangsa sebelum kejadian dan selepas itu suspek lari meninggalkan mangsa yang berdiri dalam keadaan berlumuran darah di leher serta meminta tolong,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252