BERSATU Kelantan serah tiga nama calon PRK DUN Nenggiri minggu depan

BERSATU Kelantan serah tiga nama calon PRK DUN Nenggiri minggu depan

KOTA BHARU – BERSATU Kelantan akan menyerahkan senarai tiga nama calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kepada pimpinan parti selewat lewatnya akhir minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata sehingga kini pihaknya masih membuat penelitian berhubung senarai calon yang akan ditampilkan.

“Kita belum memuktamadkan lagi tiga nama berkenaan. Kita menerima cadangan daripada pihak bawahan sebelum proses pemilihan dibuat.

“Yang pasti, ketiga-tiga calon berkenaan adalah lelaki yang terdiri daripada pimpinan parti BERSATU Gua Musang dan ahli biasa.

“Kita pilih ada yang berasal dari Nenggiri, ada juga di luar Nenggiri namun masih lagi dalam daerah Gua Musang,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, pihaknya akan menampilkan calon boleh menang dan boleh memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Dalam senarai tiga calon nanti, calon muda juga akan dikemukan dan seterusnya terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

“Kita ada masa hampir dua minggu lagi dan senarai nama ini perlu dihantar selewat-lewatnya akhir minggu depan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos ini.

Pada PRN yang berlangsung pada Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *