BERITA UTAMA
PRK Sungai Bakap: Siapa calon boleh menang, disenangi dan berpengetahuan?

PRK Sungai Bakap: Siapa calon boleh menang, disenangi dan berpengetahuan?

HARI ini genap 10 hari berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sejak ia membuka tirai pada 22 Jun lalu.

Memasuki ‘pusingan kedua’ dengan berbaki empat hari sahaja lagi menjelang hari pengundian yang ditetapkan pada 6 Julai ini, sudah tentu parti-parti yang bertanding sedang giat melipatgandakan gerak kerja jentera masing-masing bagi membantu kemenangan calon.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Ini merupakan PRK kelapan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Faktor Kemenangan

Lazimnya, kemenangan dalam pilihan raya bersandarkan kepada beberapa perkara antaranya komposisi pengundi, jentera, isu, demografi, geografi serta paling penting adalah faktor calon.

Perlu diakui bahawa faktor calon adalah proses pemilihan yang sukar dan perlu dilalui oleh pihak yang mahu bertanding khususnya parti politik.

Matlamat dalam membuat penilaian ini ialah supaya calon yang diketengahkan oleh sesebuah parti boleh dianggap sebagai calon boleh menang iaitu “winnable candidate”.

Tetapi terdapat juga pemerhati politik yang menambah kepada faktor itu dengan memasukkan aspek ‘disenangi’ dan ‘berpengetahuan’.

Kemampuan untuk menang, mungin juga boleh dinilai berdasarkan sokongan parti dan barangkali sambutan masyarakat tempatan yang memberi tanda-tanda ‘peluang yang tinggi’ atau cerah untuk seseorang calon itu menang dalam pilihan raya.

Manakala, disenangi atau juga disebut sebagai ‘popular’ kebiasaannya cenderung kepada sikap calon berkenaan seperti kejujuran, kebolehan berkomunikasi, serta memiliki keperibadian yang baik.

Ketiga ialah pengetahuan yang mana terkandung dalam aspek ini adalah pendidikan dan pengalaman yang relevan.

Memang sukar untuk memenuhi tiga kriteria ini secara keseluruhan tetapi ia boleh dikatakan mampu diukur oleh para pengundi, jika calon itu memiliki latar belakang yang sesuai, mudah dikenali atau didekati.

Misalnya, calon itu adalah anak tempatan atau pernah memberi khidmat di kawasan, yang calon itu mahu bertanding atau ‘mencuba nasib’.

Ada juga calon yang kalah kerana kajian rapi tidak dibuat pada peringkat awal.

Bagi PRK Sungai Bakap, ia adalah satu contoh untuk melihat bagaimana penilaian terhadap calon mudah dibuat kerana pertama, penyandangnya sudah meninggal dunia dan kedua, hanya dua calon yang bersaing untuk merebut kerusi berkenaan.

Untuk rekod, kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi oleh Nor Zamri (PN), yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Justeru, Joohari atau Cikgu Joo yang mewakili Kerajaan Perpaduan diberi mandat untuk mendapatkan semula kerusi DUN N.20 dengan pendekatan ‘regain’ atau menawan semula.

Manakala, Abang AbidiN yang mewakili PN diberikan kepercayaan dan keyakinan oleh parti yang diwakilinya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Cikgu Joo dilahirkan pada 17 Julai 1964 dan dikatakan anak jati kelahiran Sungai Bakap.

Beliau memiliki latar belakang pendidikan di peringkat universiti dan mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Bidang kepakaran Cikgu Joo banyak menjurus kepada pengurusan pendidikan dan ini dilihat satu kelebihan kerana para pengundi di Sungai Bakap adalah daripada komuniti yang begitu senang berdampingan dengan pendidik.

Dalam kerjaya, beliau menyandang banyak jawatan di peringkat sekolah dan institusi, selain beberapa kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Reputasi dan prestasinya dalam karier juga menjadi satu penyumbang utama dalam mengukur keupayaan beliau, yang mungkin akan menjadi wakil rakyat baharu bagi DUN berkenaan.

Cikgu Joo memulakan kempen dengan slogan ‘Perpaduan Demi Sungai Bakap’ dan beliau merupakan calon nombor satu.

Abang Abidin

Lahir pada 7 Disember 1968 dan merupakan anak jati Sungai Bakap dari Kampung Sungai Duri, yang juga merupakan salah satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi N.20.

Orangnya digambarkan sebagai seorang yang mudah didekati dan memiliki personaliti yang disenangi oleh jiran dan sekitar kawasan kelahiran beliau.

Begitu pun, tidak banyak diketengahkan tentang latar belakang pencapaian akademiknya. Tetapi beliau adalah Pegawai Khas kepada Allahyarham Nor Zamri mulai Ogos 2023 hingga Mei 2024.

Selama 10 bulan, Abang Abidin berpeluang mendapat pendedahan dalam hal ehwal kemasyarakatan bagi Sungai Bakap ketika berkhidmat bersama penyandang kerusi berkenaan.

Namun, 10 bulan ini agar sukar untuk para pengundi menilai apakah pencapaian yang telah dibuat kerana ia satu jangka masa yang agak pendek.

Dalam bidang politik pula, Abang Abidin adalah orang kanan dalam parti Pas kawasan Nibong Tebal dan memegang jawatan penting parti dalam aspek pilihan raya .

Abang Abidin membawa slogan ‘Sungai Bakap Kita Kekal’ dengan tagline ‘Calon Rakyat Sungai Bakap’ dan merupakan calon nombor dua.

Calon ‘Sama Gagah’

PRK Sungai Bakap adalah pertandingan satu lawan satu antara PH dan PN, dengan kedua-dua calon merupakan anak tempatan serta pada usia yang ‘sama gagah’.

Selama lebih seminggu berkempen, kedua-dua calon ini bebas daripada kontroversi serius melibatkan isu peribadi, yang boleh membantutkan usaha meraih undi.

Justeru, boleh disebut bahawa dua calon ini bakal bersaing berasaskan kekuatan dan kemantapan parti yang diwakili serta jentera yang turut serta menaikkan populariti mereka.

Sepanjang lebih seminggu ini juga, mereka telah bekerja begitu kuat dan mungkin waktu tidur terpaksa dikorbankan, malah turut ‘diuji’ untuk melihat kebolehan bertutur selain daripada Bahasa Malaysia.

Tetapi semuanya akan dinilai oleh 39, 279 pengundi di DUN Sungai Bakap, dengan pecahan kaum Melayu (59.36 peratus); Cina (22.5 peratus); India (17.39 peratus), manakala lain-lain (0.71 peratus).

Kita akan lihat tempoh yang berbaki ini – bagaimana kehebatan momentum kempen dua-dua calon.

Selamat berjuang!

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *