Seorang pendaki Malaysia berjaya diselamatkan di Gunung Denali, Alaska

KUALA LUMPUR – Seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang berjaya menawan Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat diselamatkan selepas terperangkap dalam cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada Selasa.

Wakil Kelab Jelajah Alpine (KJA) berkata, pendaki itu, Muhammad Illaham Ishak, 47, kini berada di hospital untuk rawatan, manakala dua lagi iaitu Zainudin Lot, 47, dan Zulkifli Yusuf, 37, masih menunggu pasukan penyelamat di lokasi pada ketinggian 5,990 meter.

Menurut wakil kelab tersebut, panggilan dan isyarat kecemasan dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi satelit pada petang Selasa selepas seorang daripada mereka mengalami kesukaran berjalan.

“Muhammad Illaham turun berseorangan ke kem lima untuk mendapatkan bantuan pasukan penyelamat bagi membawa keluar dua lagi pendaki termasuk seorang yang cedera di kaki.

“Kedua-dua pendaki kini menunggu untuk diselamatkan di kawasan dikenali dengan nama ‘Football Field’ berhampiran Gunung Denali kira-kira 200 meter dari puncak dan berlindung dalam gua salji.

“Pihak Park Ranger bersedia untuk proses menyelamat dan masih menunggu cuaca yang membenarkan helikopter untuk terbang. Saya difahamkan keadaan mereka stabil dan dikhuatiri mengalami kecederaan jari akibat radang dingin (frostbite) dan hypothermia,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Muhammad Illaham yang juga Presiden KJA telah melengkapkan pendakian beberapa puncak tertinggi seperti Gunung Kilimanjaro, Afrika; Gunung Elbrus, Rusia; Gunung Everest, Nepal; Gunung Aconcagua, Argentina dan Gunung Carstensz, Indonesia.

Ekspedisi yang disertai dua lagi pendaki itu bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pendakian sendiri iaitu tanpa sebarang bantuan malim gunung atau pihak profesional lain dari luar. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *