PENAMPANG– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kemiskinan tegar di Sabah dinoktahkan sebelum akhir Julai ini.
Beliau yang memberi keutamaan kepada usaha menoktahkan kemiskinan khususnya di Sabah, yakin sasaran tersebut mampu dicapai berikutan bilangan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar di negeri itu menurun daripada 20,000 kepada 9,000, setakat ini.
Isu kemiskinan tegar di Sabah menurut Anwar, adalah lebih serius berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor.
Justeru, katanya, kerjasama bersepadu antara Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diterus diperkukuhkan ke arah menyelesaikan masalah tersebut.
“Kemiskinan tegar ini maknanya uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum atau susu untuk bayi mungkin ada masalah (untuk membeli), sebab itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
“Kita mahu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai 2024. Ini keutamaan kita, kita boleh bincang pelbagai hal, tetapi kalau anak-anak kita, keluarga kita tidak cukup makan, itu tanggungjawab yang kita (perlu) selesaikan,” katanya berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, hari ini.
Pesta Kaamatan yang disambut selama sebulan berakhir hari ini dengan majlis pembukaan berlangsung di Ranau pada 1 Mei.
Pesta menuai itu yang kini berevolusi menjadi pesta perpaduan disambut masyarakat berbilang latar belakang di Sabah, juga seluruh negara.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Anwar berkata, selain usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan sekolah daif di Sabah, hal berkaitan isu bekalan air di negeri itu juga dibincangkan bersama Ketua Menteri terutama melibatkan sebahagian peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.
Ini, kata beliau, termasuk isu bekalan elektrik, memandangkan Sabah masih berdepan masalah itu.
Perdana Menteri berkata, rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang turut dihadiri menteri serta pegawai kanan kerajaan adalah satu tradisi baik, selain memperlihat hubungan erat antara kedua-duanya.
“Dengan rundingan itu, ada yang kita ubah suai, ada cadangan baharu yang kita rasa tidak utama, tetapi kita beri perhatian,” jelas beliau.
Sementara itu, Anwar berkata, keputusan mengecualikan Sabah dan Sarawak dalam penyasaran semula subsidi diesel diambil kerana penggunaan bahan itu adalah lebih meluas berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
“Ia juga berdasarkan kepada keperluan rakyat dan bukannya permintaan daripada kerajaan negeri terbabit,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, penyasaran semula subsidi diesel kepada rakyat diperkenalkan bagi memastikan hanya golongan sasar sahaja menikmati manfaatnya.
Dalam pada itu, katanya, pelarasan tarif elektrik yang diperkenalkan berjaya menyelamatkan kira-kira RM4.5 bilion wang kerajaan, manakala penyasaran subsidi diesel untuk satu tahun mampu menyelamatkan RM4 bilion.
“Selama ini, RM8 bilion kita sedekah atau subsidi kepada orang kaya dan orang asing. Sekarang, bila kita hentikan, kita selamatkan (wang kerajaan).
“Saya sebut begini kerana nanti dijadikan isu politik oleh sesetengah pihak. Penyasaran subsidi adalah langkah diambil untuk menyenangkan rakyat,” kata beliau. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252