BERITA UTAMA

TMJ tuntut siasatan menyeluruh kes pengawal pengiring PDRM pukul pemandu OKU

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya pada Selasa lalu.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, tidak sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.

“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, pemandu kenderaan e-hailing OKU yang mendakwa dipukul seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dalam satu kenyataan pada Rabu lalu dilaporkan berkata, pemandu OKU berkenaan telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

Terdahulu, media melaporkan, pemandu e-hailing OKU berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel dekat KL Sentral di sini.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya. Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika membuat laporan, telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda yang diperik Berita Harian sebagai melaporkan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *