BERITA UTAMA

Kasino kedua, penafian Anwar tepat masanya – Hassan

KUALA LUMPUR – Sangat melegakan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim pantas menafikan laporan media Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri sedang berunding dengan tokoh korporat perjudian bernama Vincent Tan dan Lim Kok Thay untuk mengeluarkan lesen perjudian serta membuka pusat kasino di Forest City, Johor Bahru.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, laporan Bloomberg itu terbit pada 25 April 2024 jam 7 GMT+8 dan ditulis oleh tiga orang iaitu Niki Koswanage, Chanyaporn Chanjaroen dan Ram Anand dengan tajuk “Malaysia in Talks with Tycoons on Casino to Revive 100 Bilion Dollars Forest City”.

Katanya, penafian Anwar terbit dalam portal Malaysiakini semalam dengan memetik sebagai berkata, laporan Bloomberg itu adalah tidak benar sama sekali.

“Apa tujuan laporan Bloomberg yang palsu itu? Adakah Bloomberg ada niat jahat sengaja untuk mencalar imej Anwar sebagai Perdana Menteri?

“Perlu diingat, kerajaan pimpinan Anwar bukan sahaja bersifat kerajaan perpaduan, tetapi kerajaan persekutuan tersebut membawa bersama falsafah Madani. Corak pemerintahan ini telah ditakrifkan dengan pelbagai nilai yang baik bagi sebuah kerajaan.

“Namun, dasar kepada nilai murni itu ialah pemerintahan yang bersumberkan kepada contoh kerajaan pertama Islam di Madina yang dipimpin oleh Rasullulah Baginda Nabi Muhamad SAW,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Hassan, ini bermakna kerajaan Madani pimpinan Anwar adalah berteraskan prinsip dan falsafah Islam yang bersifat universal yang boleh diterima baik oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum, agama dan budaya.

Jadi, katanya, adakah Bloomberg menyiarkan laporan yang palsu itu dengan sengaja untuk menabur fitnah ke atas Anwar?

“Adakah Bloomberg sengaja berdusta dan berbohong dengan memfitnah Anwar yang jelas dan konsisten untuk menegakkan prinsip Islam dalam pentadbirannya, tetapi Bloomberg cuba membina persepsi yang buruk terhadap Anwar, dari segi yang lain ditohmah sedang berusaha untuk membuka kasino perjudian di Forest City?

“Saya tidak mencadangkan supaya tiga penulis tersebut dan Bloomberg disiasat di bawah Akta Hasutan ataupun di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Cadangan sedemikian mungkin tidak praktikal kerana penulis tersebut mungkin bukan warganegara Malaya dan tinggal di luar negara. Begitu juga Bloomberg beroperasi di luar bidang kuasa Malaysia,” katanya.

Kata Hassan, beliau juga tidak mengesyorkan supaya Bloomberg dan tiga penulis terbabit disaman kerana memfitnah Anwar.

“Kita pun tidak mahu memburukkan lagi rating” Malaysia dalam laporan badan-badan hak asasi manusia seperti Amnesty International dengan tuduhan Malaysia kini menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

“Namun, saya percaya Pejabat Perdana Menteri perlu menulis surat bantahan rasmi kepada Bloomberg supaya tidak mengulangi lagi pembohongan mereka.

“Jika diteliti lebih lanjut, kita akan dapati kesan buruk dari laporan palsu Bloomberg turut memfitnah secara tidak langsung terhadap Sultan Johor yang juga Yang di-Pertuan Agong. Ini kerana Sultan Johor adalah antara pemegang saham projek Forest City,” ujar beliau. – Nasionaldaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *