SEBAGAI ketua jabatan sama ada di peringkat bahagian, cawangan, unit atau seksyen di kementerian, jabatan atau agensi badan awam, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk sentiasa memberi peringatan dan menguatkuasakan kawalan serta pengawasan tatatertib ke atas pegawai-pegawai bawahannya.
Persoalannya, ramai dalam kalangan ketua jabatan lemah atau gagal mengawal selia, memantau dan memastikan pegawai bawahan masing-masing mematuhi sistem dan prosedur kerja dan peraturan jabatan atau agensi yang berkuat kuasa serta tidak bertegas mengambil tindakan ke atas pegawai bermasalah.
Salah satu tanggungjawab penting ketua jabatan yang sering dipandang remeh dan diabaikan ialah untuk memastikan pematuhan “Surat Pekeliling Am Bilangan 11 Tahun 1981: Sistem Penggunaan Perakam Waktu dan “Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 1994: Penggunaan Sistem Perakam Waktu Elektronik di Agensi-Agensi Kerajaan” di pejabat masing-masing.
Antara kesalahan yang dikenalpasti di atas kegagalan ketua jabatan ialah lemah kawalan dalaman atau tiada penyeliaan dibuat ke atas pegawai yang gagal mengetip Kad Perakam Waktu masa datang atau balik kerja.
Tiada laporan bulanan disediakan, membiarkan pegawai memegang kad perakam waktu, tidak memberi surat tunjuk sebab kepada pegawai yang datang lewat atau tidak mengetip kad perakam waktu lebih tiga kali sebulan, membiarkan kad perakam waktu tidak bertandatangan oleh pegawai atasan bagi kes kelewatan, tidak ketip kad perakam waktu atau meminta pegawai lain mengetip kad perakam waktu dan tidak menukarkan kad perakam waktu kepada warna hijau atau merah setelah pegawai melakukan pelanggaran peraturan tersebut.
Peruntukan Perkara 3C (1)(2) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Perkara 21(1)(2), Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 (Akta 605) dengan jelas meletakkan tugas dan tanggungjawab Ketua Jabatan dalam menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya.
Sekiranya seseorang pegawai tersebut tidak menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya atau tidak mengambil tindakan ke atas pegawai bawahannya yang melakukan pelanggaran tatakelakuan, dia boleh disifatkan cuai dalam melaksakanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Perlu diingatkan, integriti seseorang ketua jabatan sudah pasti akan dipertikai dan diperlekehkan oleh pegawai bawahannya jika mereka tidak bertegas dan bersungguh- sungguh dalam mematuhi serta menguatkuasakan peraturan itu.
Sehubungan itu, semua ketua jabatan perlu memandang serius, mereka tidak boleh melepaskan diri dari tanggungjawab ini dan meletakkan tugas ini kepada pegawai bawahan tertentu sahaja untuk menjalankan tugas kawalan dalaman ini. – Nasionaldaily
Sumber: Malaysia Corruption Watch (MCW)
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!