JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor hari ini, menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, seperti pernah dinyatakan sebelum ini, kerajaan Johor yakin Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Jelas beliau, semua sedia maklum kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi kepada bangsa Johor.
Justeru, katanya, khabar angin yang tular itu dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya.
“Untuk makluman, kerajaan Johor tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara ini, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.
“Kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara sama.
“Sejarah jelas membuktikan sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah bertitah baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” katanya.
Menurut Onn Hafiz lagi, dengan penegasan itu, kerajaan negeri berharap isu berkenaan tidak lagi diperpanjang dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum. – Nasionaldaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!