BERITA UTAMA

SPRM jangka ada beberapa tangkapan isu tuntutan palsu anak MB – Azam

GUA MUSANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat beberapa tangkapan lagi berhubung kes melibatkan anak seorang menteri besar bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tangkapan itu bertujuan membuktikan kesalahan yang berlaku berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, kes itu telah diketahui umum dan suspek terlibat telah ditahan semalam serta siasatan masih diteruskan.

“Beberapa pihak lain juga akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di Bangunan Persekutuan Gua Musang di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, berkemungkinan permohonan reman baharu bagi semua suspek yang ditahan juga akan dibuat berikutan tempoh masa reman yang diberi tidak mencukupi untuk membolehkan SPRM melengkapkan siasatan awal.

Semalam, anak lelaki seorang menteri besar antara enam direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM akan menumpukan penyiasatan terhadap isu pembinaan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang bernilai RM25 juta melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Untuk makluman semua, sebenarnya pembiayaan datang sebanyak RM2.5 juta daripada pihak FIFA, bukan duit FAM.

“FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya, dan telah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan yang terakhir dan pihak FIFA telah bersetuju dengan syarikat yang berkaitan,” katanya.

Azam berkata, isu itu bukan sahaja FAM yang terlibat, malah FIFA juga kerana ia melibatkan duit mereka.

“Oleh itu, bagi memuaskan hati mereka yang membuat tohmahan isu ini, untuk adil kepada semua pihak, kami siasat isu berkenaan,” katanya.

Azam berkata, SPRM tidak akan mengambil tindakan berhubung permasalahan pentadbiran yang berlaku dalam organisasi itu.

“Kami tidak akan ambil tindakan berhubung isu-isu pentadbiran sebagai contoh hal gaji, hal itu ini dan sebagainya.

“Kes ini SPRM menganggap sebagai satu kes yang melibatkan kepentingan awam, maka kita telah melihat pada maklumat yang diberikan jadi kita tumpukan kepada satu isu saja,” katanya. – BERNAMA

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *