BERITA UTAMA

Galak makan ubi kayu, harga sama mahal beras import

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempertingkatkan kuantiti Beras Putih Tempatan (BPT) dengan menetapkan harga siling baharu lebih munasabah agar tidak membebankan rakyat.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Asmawar Samat berkata, ketiadaan bekalan BPT sebelum musim perayaan dan ketika ini menyukarkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

Katanya, bagi rakyat yang berpendapatan sederhana ke atas sudah tentu mampu membeli beras import berbanding ubi kayu, yang dicadangkan bagi menggantikan sementara beras.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam Putra berkata, cadangan makanan alternatif seperti ubi kayu hanyalah cakap-cakap untuk seronok sahaja kerana selagi harganya tidak turun sama dengan harga semasa BPT, selagi itu ia menjadi hangat-hangat tahi ayam.

“Harga ubi kayu di pasaran sekarang ialah RM6 sekilogram, lebih mahal dari harga BPT RM30 untuk 10 kilogram dan selagi harga ubi kayu lebih kurang sama dengan beras import, selagi itulah rakyat bawahan keseluruhannya sukar untuk beralih makan ubi kayu.

“Lainlah bagi mereka di kampung misalnya, yang mempunyai tanah atau boleh membuat batas menanam ubi di tepi jalan.

“Yang nyata, ubi kayu telah menjadi makanan mewah kerana Tuan Speaker (Tan Sri Johari Abdul) telah menjamu Perdana Menteri dengan ubi kayu di rumah terbukanya baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asmawar berkata, di zaman pendudukan tentera Jepun tahun 1942-1945, mereka sanggup merampas beras hingga rakyat terpaksa menanam dan makan ubi.

“Tetapi, di zaman pasaran beras dikuasai para kartel, janganlah disorok bagi dicampur atau ditipu label dengan beras import kemudian dijual untuk mendapat untung yang tinggi.

“Isu kekurangan dan kehilangan BPT di pasaran telah lama diperkatakan iaitu seawal September tahun lalu lagi dan sehingga kini, walaupun sudah masuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, BPT masih sukar diperolehi di pasaran.

“Sebelum Hari Raya, sebanyak 150,000 metrik tan BPT telah dijanjikan akan diedarkan segera untuk menampung keperluan dengan harga RM30 untuk 10 kilogram,” katanya.

Namun, kata beliau, yang muncul hanyalah BPT Harumas jenis Super Wangi dengan harga RM33.15 untuk lima kilogram atau RM66.30 untuk 10 kilogram.

Perbandingannya, katanya lagi, beras Sunwhite Import dijual dengan harga RM62 untuk 10 kilogram.

Sedangkan, bayaran zakat fitrah tahun ini masih berdasarkan nilai harga beras yang dimakan harian iaitu RM7, RM14 dan RM22, manakala harga ubi kayu di pasaran adalah RM6 sekilogram. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *