BERITA UTAMA

Yang gila adalah kita…

Coretan Ummuhani Abu Hassan

SECARA peribadi, saya tidak pernah bertemu dengan Nadir Al-Nuri. Namun, punya kenangan istimewa dengan ibu bapanya, Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff dan ibunya Puan Zuryati Yasin yang saya panggil Abi dan Cik.

Saya bertemu ibu bapanya pertama kali di Damsyik, Syria tahun 2005. Waktu itu, Abi sedang membuat penyelidikan sebatikal selama sembilan bulan di Damsyik, membawa isteri dan tiga anak kecilnya, adik-adik kepada Nadir.

Saya sungguh teruja melihat keluarga mereka di Damsyik. Saya waktu itu datang ke sana untuk belajar bahasa Arab dan mencari bahan menulis novel. Umur saya 23 tahun, baru habis sarjana muda di Apium.

Kerana begitu kagum, saya menulis Novel Kanak- Kanak berjudul ‘Senyum Kota Suriah’ dengan watak-wataknya adalah keluarga Abi, Cik dan anak mereka Hanan, Mubtasim (semua mereka sudah dewasa sekarang). Novel itu diterbitkan DBP (2010).

Hubungan baik saya dengan Abi, Cik berlanjutan bila kami sama-sama bermusafir ke Solo dan Ponorogo, Indonesia. Saya menganggap mereka mentor dalam fasa remaja saya. Bahkan, mereka pernah sampai di rumah ibu bapa di Padang Sera, Kedah.

Hubungan mula berjarak bila saya berkeluarga dan berpindah-randah hingga ke Korea. Cik dan Abi pula berpindah ke Johor Bahru menyebabkan waktu itu sudah tak dapat bertemu.

Mulai saya mengikuti perkembangan mereka di media sosial terutama dua anak lelaki mereka yang serius dalam misi kemanusiaan Syria dan Palestin. Saya dapat tahu Nadir mengahwini wanita Palestin juga dari jauh.

Isteri Nadir bukan sembarangan wanita. Anak kepada Dr. Arafat Al Minawi, Pengasas Kuliyyah Syariah Universiti Islam Gaza. Walaupun buta, beliau menyelesaikan master di Jordan dan PhD di Sudan sebelum pulang ke Gaza dan membangunkan pendidikan tinggi di tanah kelahirannya.

Paling dahsyat, peranan si isteri (ibu mentua Nadir) yang jadi tukang baca kitab-kitab kepada suami yang buta mata, tapi celik mata hati. Kecintaan pada ilmu menyebabkan anak mereka, isteri Nadir juga belajar hingga ke peringkat PhD (belum sempat selesai).

Rumah mentua Nadir adalah tempat berkumpulnya para ulama dan pencinta al-Quran. Ada perpustakaan di dalamnya. Namun, rumah itu sekarang sudah dibom hancur oleh ‘I’ Laknatullah.

Nadir adalah seorang dalam 32 juta rakyat Malaysia yang Allah SWT pilih untuk berada dekat dengan G. Ada darah dagingnya dari tanah G. Cerita-ceritanya saban hari berlaku peperangan (Oktober 2023-kini) begitu mendebarkan dan menjatuhkan air mata. Siapa yang tega saat isteri dan anak-anak diburu maut, tetapi diri jauh daripada mereka?

Saya begitu malu apabila Nadir menulis,

“Mampukah kita mengucapkan Alhamdulillah apabila poket hanya ada beberapa ringgit sedang anak merengek kelaparan dan duit tidak cukup membeli sekilo tepung”.

Perang G adalah ujian untuk umat Islam di mana sahaja. Kita belum lagi diuji untuk berkata seperti seorang ibu G, “Ya Allah, ambillah lagi daripada nyawa anak-anak kami sehingga Engkau berpuas hati”.

Allah SWT datangkan Nadir untuk umat Melayu supaya catatannya dalam bahasa ibunda dapat menjentik hati dan iman kita. Bayangkan, jika tidak ada Nadir, kita mungkin berasa tidak begitu dekat dengan G kerana bangsa yang berbeza, bahasa Arab pun tidak kita kuasai ditambah ukhwah Islam akhir zaman yang suam-suam bermusim.

Namun, Nadir semacam menjadi jambatan dua bangsa dan budaya yang kita mahu isteri dan anak-anaknya selamat kerana mereka pun bahagian dari Malaysia. Bahkan, dalam doa yang panjang, kita mahu seluruh umat G selamat dan seluruh bangsa laknat itu dihujani azab-Nya sehingga hilang dari muka bumi.

Nadir berkongsi, suatu yang luar adat kita. Orang-orang G dalam bicara mereka selalu menyebutkan sesama mereka, “Niyaluh (untunglah). Untunglah dia syahid hari Jumaat. Untunglah dia syahid masa bulan Ramadan. Untunglah dia syahid dalam perang fisabilillah…”

Untung kita? Untung dapat bonus kerajaan. Untung dapat menantu cantik dan kaya. Untung ada pencen dan simpanan KWSP.

Nadir mengingatkan kita kembali dalam nasihatnya, mati syahid itu tidak mudah, tetapi hadiah tertinggi untuk hamba-hamba-Nya yang paling tabah dan tak pernah mengalah. Untunglah umat Islam G sekarang ini kerana syurga tanpa hisab sedang mengalukan mereka beramai-ramai. Inilah hakikat keuntungan sebenar manusia.

Paling terkesan apabila Nadir berkisah bahawa perjuangan G sebenarnya adalah cerminan pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar. Ibu bapa dan anak yang saling meredai untuk melepaskan apa-apa yang ada termasuk nyawa untuk Allah SWT.

Apabila ibu bapa G mendengar anak mereka syahid, yang terluncur di bibir mereka adalah, “Itulah sebaik pengakhiran wahai anakku..” Ya Allah sebagaimana terakam dalam al-Quran, Nabi Ismail berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insha-Allah ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar”.

Begitu banyak coretan Nadir dalam bukunya Healing Cara Gaza, saya percaya siapa pun yang membaca dengan celik hati pasti akan berkata, malu dan aku gila tidak bersungguh membantu dan berdoa untuk umat G. Saya menyeru semua rakan FB membeli buku ini di link https://kirakos.onpay.my/order/form/healingcaragaza1…

Buku ini untuk hidupkan kembali iman dan perasaan kita terhadap saudara seagama yang sedang diuji dahsyat.

Buat Nadir, Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doamu dan doa orang-orang yang mengasihimu untuk bersatu kembali dengan isteri dan anak-anak. Terima kasih PMX. Semoga dengan bantuan besarmu membawa pulang keluarga Nadir, Allah SWT membantumu menjadi seorang pemimpin Islam yang diredai-Nya.

Kini, saya jadi tak sabar balik bercuti di Malaysia, saya ingin bertemu kembali Abi, Cik dan Nadir sekeluarga untuk saya mengambil ibrah hidup mereka dan tidak gila dunia yang fana. – NasionalDaily

Dipetik dari Facebook Ummihani Abu Hassan

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *