BERITA UTAMA

Ini yang berlaku selepas Hafizul ditangkap

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan motif utama suspek lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) awal pagi kelmarin, berkaitan perihal peribadi dengan isterinya.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, setakat ini polis tidak mengesan sebarang unsur lain yang mendorong suspek, Hafizul Hawari, 38, melepaskan tembakan yang terkena pengawal peribadi isterinya di Balai Ketibaan KLIA 1 dalam kejadian pada jam 1.20 pagi.

“Soal siasat juga mendapati suspek seorang yang normal,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ditangkap, lelaki itu sempat ke hospital swasta di Kota Bharu untuk mengambil laporan perubatan.

“Dia ditahan sebaik keluar dari Hospital Pakar Perdana, di Kota Bharu pada jam 3 petang.

“Apa tujuan laporan perubatan sama ada mahu memohon visa atau sebaliknya, kita masih menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, suspek sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital swasta berkenaan sebelum kejadian tembakan dan suspek hadir semalam untuk mengambil laporan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, suspek juga bergerak secara individu ke Kelantan selepas kejadian tanpa dibantu mana-mana pihak dan beliau sudah biasa dengan negeri itu memandangkan pernah belajar di sebuah tahfiz di Pasir Mas sebelum ini.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek merancang mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand.

Katanya, ini berdasarkan rampasan dibuat melibatkan sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht daripada suspek.

“Selain wang tunai, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 33 butir peluru, mercun bola, enam biji telefon bimbit dan pasport,” katanya.

Jelas beliau lagi, sebaik tiba di Kelantan selepas waktu Zohor, suspek menginap di sebuah hotel dengan membuat pendaftaran menggunakan identiti individu lain menyebabkan kehadirannya gagal dikesan.

Sementara itu, Hafizul ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas polis mendapat perintah tahanan reman pagi ini, sempat memberitahu media, dia memerlukan tujuh peguam untuk mewakilinya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *