BERITA UTAMA

UMNO Ketereh dukacita penahanan Dr. Akmal, harap tidak didakwa di mahkamah

KOTA BHARU – UMNO Bahagian Ketereh dukacita dengan penangkapan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pagi semalam.

Ketua Penerangannya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, satu Malaysia tahu tindakan dan kritikan terbuka beliau hanyalah bagi mempertahankan kesucian agama Islam daripada dipermainkan mana-mana individu mahupun organisasi dalam negara ini.

Menurut beliau, tindakan yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang memberi manfaat dan keuntungan peribadi kepadanya.

“Perlu diingatkan, gesaan dibawa oleh beliau bukanlah bersifat perkauman atau membawa sentimen perbalahan agama.

“Sesiapa sahaja tidak kira bangsa atau agama wajib menghormati kedudukan agama Islam di negara ini.

“Kedudukan Islam dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, bukan sekadar cakap politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan secara peribadi berharap penahanan itu hanya bagi membantu siasatan dan untuk diambil keterangan di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah semata-mata, dan tidak perlu berakhir dengan reman serta pendakwaan di mahkamah.

Jelas beliau, gesaan bagi mempertahankan kesucian Islam, satu agama yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu elemen hasutan di bawah Akta Hasutan 1948.

Ianya juga katanya, bukanlah salah guna media di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Proses pendakwaan terhadap pihak yang melakukan penghinaan terhadap kalimah Allah dan agama Islam ini bukanlah tiket untuk menghentikan segala kritikan terhadap perbuatan keji mana-mana pihak yang menghina agama.

“Bahkan, ianya sesekali tidak akan mengganggu proses kehakiman di mahkamah. Jangan jadikan ianya alasan bagi penahanan Dr. Akmal.

“Pada masa sama, rakyat secara keseluruhan wajar melihat tindakan dan keberanian Dr. Akmal ini sebagai bukti UMNO sentiasa konsisten dalam mempertahankan kesucian agama Islam, tak kira walau dalam kerajaan mana pun UMNO berada,” katanya.

Beliau berkata, kesucian agama Islam, bangsa Melayu dan Kedaulatan Raja-raja Melayu menjadi tonggak asas UMNO dan takkan mungkin berubah walau di zaman mana sekalipun kerana ianya asas dalam penubuhan parti ini.

“Diharapkan polis menyiasat secara adil, telus dan sewajarnya polis tidak ditekan oleh mana-mana parti politik dalam menjalankan siasatan yang adil terhadap Dr. Akmal,” katanya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *