KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 20 pegawai kanannya berkuat kuasa esok, 6 Mei 2024.
Setiausaha PDRM, DCP Alzafny Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, pertukaran itu antaranya membabitkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan yang dilantik sebagai Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau menggantikan Datuk Mohd Khairi Khairudin yang dilantik ke jawatan Ketua Polis Terengganu.
Beliau berkata, pertukaran lain melibatkan Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Shazeli Kahar yang dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.
“Datuk Abu Samah Mohd Noor pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.
Selain itu menurut Alzafny, Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri Muar, Johor, SAC Sulaiman Hussain dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
Alzafny berkata, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, SAC Thaipul Bahri Mokhtar dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Integriti) Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dengan memangku pangkat DCP.
“Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin pula dilantik sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri Muar, Johor sementara Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan) Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dilantik ke jawatan Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, kedua-duanya memangku pangkat SAC,” katanya. (Dipetik laporan BERNAMA)
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!