KOTA KINABALU – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh dibenarkan keluar jam 2 petang semalam selepas diambil kenyataan dari jam 10.40 pagi.
Bercakap kepada media di luar pekarangan Balai Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, menurutnya, pada asalnya beliau diminta memberikan keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur esok (hari ini).
“Saya memberikan persetujuan untuk hadir ke IPD Dang Wangi esok hari, namun setibanya saya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, saya ditahan oleh anggota polis untuk dibawa ke IPD Kota Kinabalu.
“Keterangan pertama telah mengambil masa dua jam bermula 10.40 pagi hingga jam 12.40 tengah hari. Kemudian barulah dibenarkan untuk pulang.
“Namun selepas saya beri komen kepada media. Penahanan saya dilanjutkan dan saya diminta untuk beri keterangan sekali lagi yang juga mengambil masa dua jam,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota polis IPD Kota Kinabalu dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam soal siasat itu.
Dr. Akmal juga mengucapkan terima kasih kepada pimpinan parti yang menghubungi dan membantunya serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakannya.
“Sepanjang ditahan untuk diambil keterangan, saya dimaklumkan akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Apa pun kesusahan dan cabaran yang dihadapkan kepada saya, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus berjuang dan berkata mengenai kebenaran demi agama dan ummah.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar demi mempertahankan agama dan bangsa, saya rela dengan sepenuh hati,” katanya.
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!