TANGGAL 25 Mac saban tahun, sambutan peringatan Hari Polis dirai bagi mengenang jasa dan keringat para pahlawan Sang Saka Biru terdahulu, yang berjuang menuntut kedaulatan serta keamanan tanah air tercinta ini.
Tahun ini, Hari Polis dirai dalam suasana sederhana bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
“Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” kekal sebagai tema sambutan buat kali kesembilan tahun, yang dilihat tetap relevan kepada pasukan dalam mengharungi segala cabaran dan rintangan, berpaksikan sokongan masyarakat untuk bersama menjaga kesejahteraan serta keharmonian negara.
Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 secara rasminya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau tiba di pekarangan dewan kira-kira jam 9 pagi disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Tertib acara dimulakan dengan persembahan teater khas bertajuk “Subuh Berdarah Balai Polis Kuala Krau” yang menyingkap kisah tragis pertempuran berlaku pada 11 September 1949 di Kuala Krau, Temerloh, Pahang, di mana seramai 30 anggota Balai Polis Kuala Krau telah digempur dan diserang 250 pengganas Parti Komunis Malaya.
Persembahan penuh emosi yang dijayakan para pegawai dan anggota dari 69 Komando, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian D6 Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah, Bahagian Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi, Jabatan Logistik dan Teknologi dan PULAPOL Kuala Lumpur.
Persembahan mereka nyata meruntun hati hadirin yang seolah dapat merasai betapa sayangnya mereka (anggota Balai Polis Kuala Krau) kepada negara dan keberanian berjuang habis-habisan melawan pihak musuh demi memastikan tiada sesiapa pun dapat merampas bumi penuh berdaulat ini.
Persembahan turut diselitkan dengan deklamasi sajak oleh Ketua Polis Balai Tampoi, Sub Inspektor Yusof Ramji dan Lans Koperal Pemuliharaan Warisan Seni Budaya Muzium PDRM, Lans Koperal Nur Farah Hidayah Johar sambil diiringi alunan violin oleh Koperal Pancaragam, Pancaragam Pusat PDRM, Koperal Alif Azfar Ishak.
Berucap pada majlis tersebut, Razarudin menzahirkan komitmen pasukan dalam mempertahankan keselamatan demi mendukung ekspektasi masyarakat mengekal ketenteraman awam untuk membawa Malaysia ke arah sifar jenayah.
“Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga PDRM Madani untuk terus memperkukuh semangat ‘esprit de corps’ dalam pasukan.
“Terapkanlah semangat kesepakatan, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, seliang ibarat tebu, seruas ibarat serai, kerana sesungguhnya, kita kuat apabila bersama dan hebat apabila bersatu padu dalam mendepani segala halangan dan cabaran demi Malaysia Madani tercinta,” katanya.
Tambah beliau lagi, warga pasukan turut ditekankan berkaitan profesionalisme dalam melaksanakan penugasan harian bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik demi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Razarudin juga mewakili seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri kerana sudi hadir meluangkan masa bersama warga pasukan pada hari penuh bersejarah itu.
Dalam majlis sama, Anwar diberi penghormatan menyampaikan Anugerah Juara Integriti PDRM Tahun 2024 kepada sembilan penerima sebagai penghargaan dan pengiktirafan pasukan kepada pegawai polis dan pegawai awam polis atas pencapaian integriti pada tahap terbaik dalam perkhidmatan.
Terdahulu, Anwar turut berkesempatan menyantuni warga PDRM yang hadir di pekarangan Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim.
Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Saleh bersama isteri, Datin Zarina Idris; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab, Rahman bersama isteri, Puan Sri Ramlah Dawi; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bersama isteri, Datin Sri Dr. Azlifah Bahari; Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Zalena Mohd Ariffin; dan barisan pengarah PDRM bersama isteri serta rakan media. – NasionalDaily
Jurugambar acara: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!I