SHAH ALAM – Pengawal keselamatan warganegara Nepal, Sherpa Dawa, 39, diberi penghargaan oleh majikannya, A5 Security Service atas sikap jujurnya memulangkan sejumlah wang ditemuinya dalam sebuah bagasi di tempatnya bekerja.
Wang berjumlah lebih RM500,000 itu ditemui di tempat meletak kereta di sebuah kompleks beli belah di Damansara, Petaling Jaya pada Rabu lalu ketika Sherpa melakukan rondaan.
Majikan menyatakan rasa bangganya dengan sikap dedikasi Sherpa dan diberi penghormatan atas integriti serta kejujurannya yang luar biasa.
“Komitmen yang tidak berbelah bahagi Sherpa terhadap tugasnya dan kejujuran yang luar biasa. Baru-baru ini, dia menemui beg berisi wang yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan segera melaporkannya, menunjukkan rasa tanggungjawab dan integriti yang sebenar.
“Tindakannya menunjukkan nilai yang kami pegang dan piawaian tinggi terhadap reputasi kami,” jelas majikannya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Syarikat itu juga berterima kasih kepada Sherpa atas dedikasi dan kejujurannya yang cemerlang.
Tindakannya juga diharap menjadi contoh kepada semua dan mengingatkan mengingatkan kepentingan integriti serta melakukan perkara yang betul, walaupun dalam situasi mencabar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Khamis berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan daripada pihak pengawal keselamatan berkenaan pada jam 8 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!