MIRI – Sebuah rumah sewa yang diduduki dua keluarga 13 orang di Lorong 1C, Piasau Jaya 1, di sini musnah dalam kejadian kebakaran petang semalam.
Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 5.25 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral.
Katanya, pasukan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Bonny Martin bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu dua tingkat jenis separuh kekal telah hangus dianggarkan 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Menurut Awangku Mohd Hazmin, api dapat dikawal sekitar jam 6.10 petang dan operasi sejam selepas itu.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri menyatakan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa tinggal di rumah keluarga terdekat untuk sementara waktu. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!