IPOH – UMNO Perak menyokong penuh kempen Pemuda UMNO Malaysia memboikot kedai serbaneka KK Mart sebagai tanda bantahan dan solidariti umat Islam dalam isu stoking tertera kalimah Allah.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendirian itu penting dalam memberi pengajaran dan amaran keras kepada semua pihak bahawa kesucian Islam tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan.
Bagaimanapun, jelasnya, UMNO Perak mengingatkan supaya setiap ahli parti itu kekal menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam yang bertindak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.
Saarani berkata, ia penting untuk terus menjaga kesucian Islam yang merupakan sebahagian ikrar perjuangan UMNO pertahankan selama ini.
“Badan Perhubungan UMNO Perak menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah menzahirkan dukacita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.
“Dan mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
“UMNO Perak senada dalam hal ini, dan mendesak agar polemik ini perlu dihentikan segera dengan mengenakan tindakan yang keras kepada pihak yang bersalah,” katanya dipetik Astro Awani.
Menurut Saarani, ia demi memberi pengajaran berguna kepada rakyat Malaysia supaya lebih peka dan berwaspada dalam isu sensitif terutama melibatkan agama.
Katanya, kalimah Allah merupakan kalimah tertinggi bagi umat Islam.
Justeru, sama ada disengajakan atau tidak, UMNO Perak menuntut tindakan sekeras-kerasnya diambil.
“Sesungguhnya, kejadian ini merupakan satu penghinaan kepada kesucian Islam, agama Persekutuan yang dianuti orang Melayu.
“UMNO Perak juga menzahirkan kekhuatiran jika tindakan yang sepatutnya diambil agak lewat akan mencetuskan perbalahan antara kaum.
“Melihat reaksi orang Islam dalam isu, keadaan ini boleh melarat jika tanpa tindakan yang tuntas,” tambahnya. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!