SEMALAM giliran Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin untuk mendapat respon bagi usul yang telah dibawanya pada Dewan Rakyat berkenaan hasrat beliau merealisasikan Tahfiz TVET melalui ADTEC Jerantut.
Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam jawapannya memberitahu kementerian memberikan perhatian usul besar itu.
Program itu, kata Khairil Nizam, dalam fasa terakhir pembentukan modul kerangka pembelajaran TVET dan akan menjadi medium integrasi antara Pusat Tahfiz dengan institusi TVET serta industri-industri.
“Alhamdulillah, program ini dijangka dapat dilaksanakan pada Julai 2024 ini.
“Maksudnya tidak lama lagi, Sijil Integrasi Teknologi Perbuatan Pemesinan boleh dipelajari di ADTEC Jerantut oleh pelajar Tahfiz yang melepasi syarat tertentu.
“Program ini juga akan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui National Occupational Skills Standards (NOSS): Operasi Pemesinan CNC, Sijil Kemahiran Tahap 3,” katanya.
Buat masa sekarang, ADTEC Jerantut sedang menguruskan urusan pentauliahan berkaitan program dan menanti kelulusan pihak jawatankuasa kepakaran kluster pembuatan.
Latihan Sijil Teknologi Pembuatan Pemesinan Tahap 3 ini akan mengambil tempoh dua tahun tiga bulan merangkumi lima semester iaitu dua tahun pengajian dan tiga bulan latihan industri.
Modul Tahfiz TVET Jerantut ini akan dilaksanakan secara integrasi, di mana pelajar yang telah tamat pengajian dengan jayanya boleh melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Teknologi Pembuatan dengan tambahan tempoh pengajian selama tiga semester iaitu 18 bulan.
“Marilah kita bersama doakan agar Allah permudahkan usaha murni ini untuk Jerantut melahirkan individu yang kompeten dalam bidang agama serta berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional,” katanya. – NasionalDaily
Gambar: Ihsan Parlimen Malaysia
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!