KUALA LUMPUR – Pasaran buruh Malaysia kini berada pada kedudukan paling sihat dalam tempoh empat tahun, kata Pengerusi Parti Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil.
Katanya, ini mencerminkan kejayaan dasar ekonomi Kerajaan Madani dan selari dengan pencapaian Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing diluluskan paling tinggi dalam sejarah untuk tahun 2023 dengan jumlah RM329.5 bilion berbanding RM267.8 bilion sebelumnya.
Kata beliau, bilangan penganggur di negara pada Januari tahun ini juga telah jatuh ke paras terendah dalam 47 bulan.
“Ini bermakna ekonomi negara semakin kukuh, semakin ramai rakyat terutama golongan muda yang dapat bekerja.
“Di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun juga telah menurun kepada 10.6 peratus setakat Mac 2024, berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini, pengangguran belia pernah mencecah 14.2 peratus.
“Dengan pelaksanaan pelbagai dasar Madani, termasuk Dasar Gaji Progresif dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, saya yakin lebih banyak lagi pekerjaan dapat diwujudkan, terutama kerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), pada Januari lalu, pertanian negara antara sektor yang menyaksikan peningkatan bilangan pekerja serta pengeluaran.
Katanya, pertanian dan perikanan terus kekal sebagai salah satu sektor penting bagi Malaysia, di mana ia menggaji lebih kurang 10 peratus tenaga kerja negara.
“Untuk terus memajukan subsektor perikanan, LKIM harus memberikan fokus kepada usaha menarik minat golongan belia dalam menceburi bidang perikanan laut dalam dan akuakultur.
“LKIM sangat memahami keperluan meningkatkan jumlah nelayan tempatan di laut dalam, khususnya bagi Zon C dan C2.
“Tidak dinafikan kerja dalam bidang ini adalah 3D (dirty, dangerous, difficult), namun sektor ini tidak boleh selamanya bergantung kepada pekerja luar,” ujar beliau.
Beliau bimbang kekayaan sumber laut negara akan dikuasai rakyat asing dan isu pencerobohan perairan negara terutama di kawasan laut dalam akan berulang jika tidak banyak kapal tempatan dikendalikan warga tempatan mencari hasil marin di kawasan tersebut.
Sebagai Pengerusi LKIM, beliau mengalu-alukan kerjasama dengan pertubuhan belia di Malaysia untuk mendengar pandangan bagaimana belia boleh digalakkan menceburi sektor perikanan, termasuk industri akuakultur, hiliran dan produk bermargin tinggi.
“Ini bagi merekrut golongan muda dari semua kaum menjadi pemain perikanan mahir. Malah, peluang terbuka kepada golongan muda dalam sektor perikanan harus disediakan.
“LKIM juga mengharapkan kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menambah pelbagai insentif dan geran bagi menggalakkan keterlibatan anak muda dalam sektor perikanan.
“Bukan itu sahaja, LKIM juga menggalakkan nelayan muda berdaftar secara sah dengan Persatuan Nelayan (PN) untuk memastikan mereka mendapat bantuan selayaknya,” katanya.
Kata Faiz lagi, penglibatan aktif nelayan muda menerusi PN juga penting dalam memberikan suntikan idea baru dan segar untuk memperkasakan persatuan itu sebagai entiti perniagaan lebih berdaya saing di sektor perikanan.
Kelestarian sektor perikanan, katanya, bergantung kepada kemampuan golongan muda menceburi sektor berkenaan.
“Atas kesedaran ini, LKIM telah menjalin kerjasama dengan UMT atas dasar PINTAR untuk melahirkan nelayan muda berkemahiran tinggi dan mempunyai pengetahuan dalam teknologi seperti penggunaan dron dan internet of things (IOT).
“LKIM akan menumpukan kepada inisiatif “Public-Private Partnership” yang lebih banyak diwujudkan dalam sektor perikanan dan untuk memajukan sektor ini pada kadar lebih agresif, penglibatan pihak swasta dalam program kerajaan amat diperlukan.
“Kita terbuka kepada usaha sebegini untuk membina lebih ramai pemilik perniagaan, usahawan dan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor perikanan. Usaha memodenkan nelayan adalah antara halatuju utama LKIM,” katanya. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!