BERITA UTAMA

Op Samba 2.0: 15 penjawat awam ditahan disyaki terima rasuah lebih RM2 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 lagi penjawat awam disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta dari sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Tangkapan semua lelaki itu dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Samba 2.0 yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 11 Mac lalu.

Menurut sumber, semua suspek berusia antara 30-an dan 50-an ditahan kira-kira jam 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

“Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2023.

“Mereka yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya laporan BERNAMA.

Berikutan penahanan individu berkenaan, AML SPRM telah merampas barangan seperti telefon bimbit dan membekukan akaun bank semua individu berkenaan.

Sebelum ini, AML SPRM menahan 11 individu termasuk lima penjawat awam yang kemudiannya direman bagi membantu siasatan.

Difahamkan modus operandi sindiket tersebut termasuk menggunakan khidmat “forwarding agent” sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguatkuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya.

Sindiket itu juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan 15 suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, semua individu itu akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *