WASHINGTON – Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, mengkritik keras ancaman Presiden Donald Trump terhadap Iran, sambil menegaskan bahawa sebarang seruan untuk “menghapuskan” rakyat negara itu merupakan jenayah perang dan tidak boleh dikaitkan dengan AS.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Sanders berkata konflik semasa membabitkan Iran adalah tidak sah di sisi undang-undang serta bertentangan dengan Perlembagaan AS, selain menggesa Kongres campur tangan bagi menghentikannya.
“Tidak, Tuan Presiden. Kita tidak sepatutnya menghapuskan rakyat Iran. Itu adalah jenayah perang. Itu adalah tindakan tidak berperikemanusiaan. Dan ia sesuatu yang tidak seharusnya dikaitkan dengan AS,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap ucapan Trump pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyatakan beliau sedang mempertimbangkan sama ada untuk mencapai perjanjian dengan Iran atau mengambil tindakan lebih agresif terhadap Republik Islam berkenaan.
Ucapan Trump itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada beberapa ahli politik dan pemerhati yang bimbang kenyataan sedemikian boleh memburukkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Sanders, yang sekian lama mengkritik campur tangan ketenteraan AS di luar negara, berkata Kongres perlu memainkan peranan lebih aktif bagi mengelakkan konflik berkenaan daripada terus meningkat.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelesaian diplomatik harus menjadi pilihan utama dalam menangani pertikaian antara Washington dan Tehran.
Ketegangan antara kedua-dua negara terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa ketika usaha diplomatik sedang dijalankan di New York sempena Perhimpunan Agung PBB bagi mencari jalan meredakan konflik yang berlarutan di rantau itu. – Agensi
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
