Tragedi Lombong Emas: Dua Lelaki Maut Tertimbus Tebing Sungai

JELI – Aktiviti dipercayai melombong emas bertukar tragedi apabila dua lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, di sini, pada Rabu malam.

Kejadian menyayat hati yang berlaku kira-kira jam 8.20 malam itu turut melibatkan seorang lagi lelaki yang berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian mangsa tertimbus sebelum pasukan penyelamat bergegas ke lokasi.

Menurut beliau, operasi menyelamat berdepan cabaran apabila jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan ladang disebabkan laluan sempit dan sukar dilalui.

“Pasukan terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux untuk sampai ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada jam 9.20 malam dan mendapati dua mangsa tertimbus dalam runtuhan tebing tanah setinggi kira-kira dua meter di kawasan anak sungai,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 9.25 malam, manakala mangsa kedua ditemui hampir dua jam kemudian iaitu pada jam 11.18 malam.

Namun, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 malam,” katanya.

Tambah beliau, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan jentera FRT, EMRS dan RRV.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *