Israel Didakwa Zalim Terhadap Aktivis GSF 2.0, Video Tahanan Berlutut Cetus Kecaman Dunia

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

PETALING JAYA – Tentera Israel didakwa bertindak kejam terhadap peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini ditahan di Penjara Ktziot apabila menggunakan senjata perenjat elektrik (taser), selain melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan termasuk rakyat Malaysia.

Pusat Undang-undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel, ADALAH yang mewakili peserta GSF 2.0 memaklumkan sekurang-kurangnya tiga aktivis dimasukkan ke hospital akibat kecederaan serius sebelum dibebaskan pihak rejim Zionis.

“Peguam turut merekodkan puluhan peserta yang disyaki mengalami patah tulang rusuk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ADALAH turut mendakwa aktivis dipaksa berada dalam posisi tekanan fizikal ketika dipindahkan di sekitar pelabuhan termasuk berjalan dalam keadaan membongkok sambil ditekan secara kasar oleh pengawal.

Selain itu, peserta juga didakwa dipaksa duduk bertinggung di atas lutut dalam bot untuk tempoh yang lama serta berdepan penghinaan dan gangguan seksual khususnya membabitkan wanita.

Dalam perkembangan sama, kemarahan antarabangsa tercetus selepas Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir memuat naik video menunjukkan aktivis flotila dipaksa berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah di Pelabuhan Ashdod.

Video yang dimuat naik di platform X dengan kapsyen “Welcome to Israel” itu menunjukkan puluhan tahanan berada dalam keadaan terikat sambil Ben Gvir dilihat mengejek mereka dan mengibarkan bendera Israel.

Menteri Luar Ireland, Helen McEntee berkata beliau “terkejut dan marah” dengan rakaman itu serta menuntut pembebasan segera semua aktivis termasuk adik kepada Presiden Ireland, Catherine Connolly.

Dalam perkembangan berkaitan, nasib 428 peserta misi GSF 2.0 dari lebih 40 negara termasuk 29 rakyat Malaysia yang dipintas Israel di perairan antarabangsa masih belum diketahui secara rasmi.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Malaysia kini sudah melebihi 48 jam terputus hubungan dengan delegasi negara yang ditahan sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Sementara itu, Wisma Putra bersama pejabat Perdana Menteri terus meningkatkan tekanan diplomatik menerusi negara sekutu dan badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut pembebasan segera semua tahanan.

Kira-kira 50 kapal di bawah Global Sumud Flotilla belayar dari Turkiye minggu lalu dalam cubaan terbaru memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang berdepan krisis kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas sejak perang tercetus.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *