JOHOR BAHRU – Kemelut kepimpinan parti Bersatu Johor dilihat semakin meruncing apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa gagal mengambil tindakan tuntas menyelesaikan krisis dalaman yang berlarutan sejak dua minggu lalu, sekali gus berpotensi menjejaskan kestabilan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Bersatu Bahagian Sri Gading, Zamri Ahmad berkata, sikap berdiam diri kepimpinan tertinggi parti, khususnya presiden, menimbulkan kekecewaan dalam kalangan akar umbi dan pimpinan bahagian di Johor.
Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi atau pelan penyelesaian dikemukakan bagi menangani desakan 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor yang meminta Pengerusi negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal melepaskan jawatan susulan dakwaan kehilangan sokongan majoriti kepimpinan bahagian.
“Hampir dua minggu berlalu sejak desakan terbuka itu disuarakan, namun tiada tindakan tegas diambil. Ini bukan isu remeh kerana ia membabitkan soal legitimasi dan kestabilan kepimpinan peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamri berkata, kegagalan Muhyiddin menangani krisis berkenaan mencerminkan kelemahan dalam pengurusan konflik dalaman parti, lebih lagi apabila melibatkan Johor, negeri asal presiden sendiri.
Beliau menegaskan, sebagai Presiden, Muhyiddin bertanggungjawab mendengar suara akar umbi, menghormati pandangan majoriti kepimpinan bahagian serta bertindak secara adil dan tegas demi memastikan keutuhan parti terus terpelihara.
“Namun, sikap berdiam diri ini hanya membiarkan perpecahan berlarutan, sekali gus menghakis keyakinan ahli dan penyokong terhadap kepimpinan parti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zamri turut menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan apa yang disifatkannya sebagai politik dalaman sempit oleh pihak tertentu dalam lingkungan kepimpinan tertinggi parti, yang didakwa melemahkan perpaduan dalaman Bersatu.
Beliau mendakwa, terdapat usaha berterusan menyerang Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, selain menyebarkan naratif negatif terhadap rakan komponen utama PN, khususnya Pas.
“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak matang, malah menggambarkan kegagalan kepimpinan tertinggi mengawal dan menyatukan pasukan sendiri. Politik menikam rakan seperjuangan hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.
Zamri berkata, kelemahan kepimpinan itu turut memberi kesan terhadap hubungan antara Bersatu dan Pas yang dilihat semakin tegang, sekali gus menjejaskan kekuatan dan kesepaduan PN sebagai sebuah gabungan politik.
“PN dibina atas asas kepercayaan, saling menghormati dan kesepakatan strategi. Jika presiden gagal memainkan peranan sebagai pendamai dan penyatu, gabungan ini berisiko menjadi rapuh,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan politik yang terlalu eksklusif dan defensif bukan sahaja melemahkan jentera parti, malah mengelirukan penyokong serta menjejaskan kesiapsiagaan PN menghadapi pilihan raya akan datang.
Sehubungan itu, Zamri berpandangan kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan peneraju PN perlu dinilai semula secara serius demi memastikan kelangsungan parti dan masa depan gabungan berkenaan.
“Seorang pemimpin yang gagal menyelesaikan krisis dalaman, membiarkan perpecahan berpanjangan serta merencatkan hubungan dengan rakan komponen perlu dinilai semula mandat kepimpinannya,” katanya.
Beliau menegaskan, perubahan yang tegas dan menyeluruh perlu dilakukan segera bagi mengelakkan Bersatu dan PN terus dibelenggu krisis berpanjangan serta kehilangan kepercayaan rakyat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L