KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan, budaya penyalahgunaan kuasa dalam politik perlu dihentikan, sambil mengingatkan sokongan rakyat tidak boleh dipaksa atau dimanipulasi melalui kedudukan dan pengaruh.
Menurut beliau, terdapat kecenderungan dalam kalangan pemegang kuasa untuk merasakan mereka mempunyai kebebasan menekan pihak lain hanya kerana memiliki jawatan, sumber kewangan dan kedudukan tinggi.
“Dalam politik, akan sampai satu tahap bila orang yang ada kuasa mula rasa dia boleh tekan orang sesuka hati. Dia rasa sebab dia ada jawatan, ada duit, ada kedudukan, orang lain kena diam,” katanya dalam status Facebooknya semalam.
Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan, tekanan terhadap dirinya secara peribadi bukanlah isu utama, sebaliknya perkara yang lebih membimbangkan adalah apabila tindakan tersebut mula menjejaskan pihak lain, khususnya golongan bawahan dan individu yang setia menjalankan tanggungjawab.
“Kalau benda itu kena pada saya seorang, saya boleh saja jalan. Saya tak ada masalah. Tapi bila dia mula kena pada orang lain, orang bawah, orang yang setia, masa itu saya tak boleh diam,” tegasnya.
Beliau berkata, sikap berdiam diri dalam situasi sedemikian hanya akan mencerminkan kepentingan diri sendiri dan membuka ruang kepada ketidakadilan untuk terus berleluasa.
Dalam pada itu, Rafizi turut menyifatkan situasi yang dihadapinya sebagai satu ujian dalam kehidupan, sambil menekankan kepentingan ketabahan dalam menghadapi cabaran.
“Allah dah bagi banyak dalam hidup saya. Jadi, bila datang ujian macam ini, hadap sajalah. Takkan semua kita nak, tapi bila datang ujian sedikit kita terus rebah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan ramai ahli politik sering terlepas pandang hakikat kuasa bukanlah penentu mutlak dalam menentukan kejayaan.
“Mereka ingat kuasa boleh tentukan segalanya. Mereka lupa dalam politik, kita ini sebenarnya nak menang hati orang ramai,” ujarnya.
Kata beliau, sokongan rakyat tidak boleh dikawal oleh mana-mana individu kerana ia bergantung kepada kepercayaan dan penerimaan masyarakat secara keseluruhan.
“Hati orang ramai itu bukan manusia yang pegang,” katanya.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai peringatan kepada semua pihak bahawa prinsip keadilan dan keikhlasan perlu menjadi asas dalam perjuangan politik, selain mengukuhkan hakikat bahawa penilaian akhir tetap terletak di tangan rakyat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L