Harga Minyak Terdedah Geopolitik, Perlu Realiti Baharu – Rafizi

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berpandangan isu harga petrol dan diesel di negara ini kini semakin terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik global, sekali gus menuntut pendekatan lebih realistik dalam dasar tenaga negara.

Menurut beliau, perubahan landskap ekonomi dunia menjadikan Malaysia tidak lagi berada dalam kedudukan yang sama seperti dua dekad lalu, khususnya dalam sektor minyak dan gas.

“Sekarang kita tahu harga petrol dan diesel sangat terdedah kepada geopolitik dunia yang tidak menentu, jadi apa penyelesaiannya?” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, peningkatan kos pengeluaran serta margin keuntungan yang semakin mengecil memberi tekanan kepada keseluruhan industri, termasuk syarikat tenaga nasional.

“Malaysia hari ini bukan Malaysia 20 tahun lalu. Kos pengeluaran semakin tinggi, margin semakin mengecil. Malah, Petronas sendiri pun berdepan tekanan yang sama,” katanya.

Kata beliau, keadaan tersebut bukan soal pilihan politik, sebaliknya berkait rapat dengan faktor makroekonomi global yang berada di luar kawalan mana-mana negara.

“Ini bukan soal suka atau tak suka. Ini soal makro, soal ekonomi global yang kita tak boleh kawal sepenuhnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rafizi merujuk kepada National Energy Transition Roadmap (NETR) sebagai antara langkah penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas serta membangunkan sumber tenaga alternatif yang lebih mampan.

“Fokusnya jelas, kurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas serta bina sumber tenaga yang lebih pelbagai serta mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik kecenderungan mempolitikkan isu harga minyak yang disifatkan boleh mengelirukan rakyat.

“Bila isu harga minyak terus dipolitikkan, seolah semuanya boleh diselesaikan dengan janji dan slogan. Sedangkan hakikatnya, ruang kita makin sempit,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk bersikap jujur kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar ekonomi negara ketika ini.

“Kita kena jujur dengan rakyat. Zaman Malaysia ‘kaya’ hasil minyak sudah berlalu. Generasi hari ini perlu memahami dan bersedia menghadapi realiti baharu,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa ahli politik agar tidak terus menggunakan isu tersebut sebagai alat meraih sokongan dengan memainkan sentimen lama.

“Kalau terus bermain dengan sentimen lama, kita hanya menangguhkan masalah, bukan menyelesaikannya,” katanya.

Menurutnya, walaupun realiti tersebut sukar diterima, ia merupakan langkah penting untuk memastikan negara lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Realitinya pahit, tapi itu yang perlu kita hadapi untuk bergerak ke depan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *