PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kira-kira 12 tahun lalu.
Keputusan muktamad itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang membebaskan Mohd Isa, 77, dan mengembalikan sabitan serta hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam penghakiman yang dibacakan, Datuk Nordin Hassan berkata, panel mahkamah mendapati dapatan hakim bicara adalah betul, selamat dan disokong sepenuhnya oleh keterangan serta peruntukan undang-undang yang terpakai.
“Kami mendapati dapatan hakim bicara adalah betul dan disokong oleh keterangan serta selaras dengan undang-undang. Responden telah gagal menangkis anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka elemen pertuduhan berhubung pembelian hotel tersebut telah dibuktikan di bawah Seksyen 16(a)(A) melampaui keraguan munasabah,” katanya.
Menurut beliau, Mahkamah Rayuan telah tersalah guna prinsip undang-undang serta gagal menilai fakta relevan dalam kes berkenaan, justeru campur tangan Mahkamah Persekutuan adalah wajar dan perlu.
“Mahkamah Rayuan telah melakukan kesilapan apabila gagal menilai fakta material dan salah mengaplikasikan prinsip undang-undang. Oleh itu, rayuan pendakwaan dibenarkan dan perintah pembebasan responden diketepikan. Keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan responden atas kesemua sembilan pertuduhan dikembalikan,” katanya lagi.
Panel mahkamah turut menegaskan, kesalahan rasuah adalah perbuatan serius yang memberi kesan besar kepada kepentingan awam dan tadbir urus negara.
“Kami hanya perlu menegaskan semula, rasuah adalah suatu perbuatan keji yang boleh memusnahkan sesebuah negara. Hukuman penjara dan denda yang dikenakan adalah setimpal dan perlu sebagai pengajaran serta pencegahan,” katanya.
Mahkamah turut mengekalkan perintah hukuman penjara tambahan selama dua tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya responden gagal membayar denda yang dikenakan, selain mengeluarkan perintah pemenjaraan terhadap Mohd Isa.
Berikutan keputusan tersebut, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta. Sebaik keputusan selesai dibacakan selepas prosiding selama hampir satu jam 40 minit, Mohd Isa dilihat menoleh ke arah ahli keluarganya yang berada di galeri awam sebelum diiringi anggota polis keluar dari dewan mahkamah melalui pintu dalam untuk dibawa ke lokap dan seterusnya ke Penjara Sungai Buloh.
Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 3 Februari 2021 mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan hukuman penjara tambahan jika gagal membayar denda. Namun, keputusan itu telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2024, yang mendorong pihak pendakwaan mengemukakan rayuan akhir ke Mahkamah Persekutuan.
Mohd Isa didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta melalui bekas pegawai khasnya sebagai balasan membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
