KOTA BHARU – Seorang penumpang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Kilometer 80, Jalan Gua Musang-Lojing, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.40 petang daripada anggota Pondok Polis Lojing.
Kata beliau, kemalangan berlaku sekitar jam 2.30 petang melibatkan sebuah kenderaan pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun.
“Mereka dari arah Blue Valley menghala ke Gua Musang dan hilang kawalan selepas melalui jalan yang dinaiki air susulan hujan lebat.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke cerun sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.
Menurut Choon Foo, pemandu dan seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang sempat menyelamatkan diri dengan terjun keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang yang berada di tempat duduk hadapan tersepit dan gagal keluar sebelum disahkan lemas di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang dengan menelefon 09-9121222 atau hubungi Pegawai Penyiasat Insp Aida di talian 012-4027283,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
