Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya

SPRM panggil Ismail Sabri untuk rakam percakapan hari ini

KUALA LUMPUR – Siasatan ke atas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan selesai, selagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendapat maklumat lengkap berhubung pengisytiharan harta oleh bekas Perdana Menteri kesembilan itu.

Justeru, beliau dipanggil lagi oleh SPRM hari ini untuk meneruskan proses rakaman percakapan mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.

“Dalam tempoh dua minggu ini kami akan bertanya balik dan sekiranya tak dapat dibekalkan, kita akan panggil juga rakaman percakapan untuk menjelaskan kenapa dokumen-dokumen ini tak dapat diperolehi dan mana saksi yang beliau boleh kemukakan untuk bantu beliau menyokong dalam pernyataan beliau berhubung dengan pengisytiharan harta,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam wawancara khas bersama Buletin Utama pada 8 April lalu.

Setakat ini, 33 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dikaitkan dengan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Pada 3 Mac lalu, SPRM memaklumkan Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah ‘safe house’ hasil serbuan badan antirasuah itu.

SPRM juga dikatakan turut menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *