Greenwood sertai kelab Ligue 1, Marseille

Greenwood sertai kelab Ligue 1, Marseille

MARSEILLE – Marseille menandatangani penyerang Manchester United, Mason Greenwood walaupun mendapat bantahan sebahagian penyokong kelab Ligue 1 itu.

Greenwood, 22, yang hanya mempunyai satu kap bersama England, digantung pada Januari 2022 oleh Manchester United selepas pemain itu berdepan dakwaan cuba merogol dan menyerang secara seksual, namun pendakwaraya menggugurkan dakwaan pada Februari 2023.

Dia dipinjamkan ke kelab La Liga, Getafe sepanjang musim lalu.

“Olympique de Marseille dengan sukacita mengumumkan yang kami menandatangani Mason Greenwood dari Manchester United. Penyerang 22 tahun itu menyertai kelab selepas lulus pemeriksaan kesihatan,” kata kelab itu.

Marseille langsung tidak menyentuh berkenaan kes Greenwood dalam kenyataan itu, sebaliknya menggambarkan pemain terbabit sebagai bakat luar biasa dan permata England.

Kelab yang berada di tangga kelapan Ligue 1 musim lalu itu akan memberikan jersi nombor 10 kepada Greenwood, tetapi tidak mendedahkan tempoh dan nilai kontrak ditawarkan.

Sebelum perpindahan itu disempurnakan, Datuk Bandar Marseille, Benoit Payan berkata: “Saya tidak mahu kelab saya diselubungi aib.”

Greenwood membuat penampilan sulung untuk Manchester United pada usia 17 tahun 156 hari dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 2019 dan kali pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris empat hari kemudian.

Penampilan tunggalnya untuk England ialah pada September 2020.

Dia menjaringkan 35 gol dalam 129 penampilan untuk United tetapi tidak beraksi untuk saingan liga bersama kelab sejak Januari 2022.

Greenwood menjaringkan 10 gol dalam 36 penampilan untuk Getafe musim lalu.

Dia tiba Marseille sehari selepas Pierre-Emerick Aubameyang, pemain Gabon yang menjadi penjaring terbanyak kelab musim lalu, meninggalkan Marseille secara rasmi.

Marseille akan berdepan Sunderland dalam aksi pra-musim pada 3 Ogos di Bradford, tempat kelahiran Greenwood. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *